PAS bayang pemimpin parti itu bakal terajui PN, bukan semestinya presiden

KUALA LUMPUR 30 Dis – PAS memberi bayangan bahawa pemimpin parti itu yang bakal menerajui Perikatan Nasional (PN) sebagai pengerusi baharu tidak semestinya diwakili oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, susulan pengumuman peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, individu yang akan diangkat sebagai Pengerusi PN daripada PAS ialah pemimpin yang diyakini mampu menggembleng kekuatan semua parti dalam gabungan berkenaan.

“Tan Sri Muhyiddin menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa 1 Januari 2026. Saya yakin PAS akan menampilkan calon daripada parti ini untuk menerajui PN sebagai pengerusi baharu.

“Tidak semestinya presiden parti, sebaliknya seorang individu yang diyakini mampu menggembleng kekuatan parti-parti di bawah PN,” katanya.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dilaporkan mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi PN, dan perkara itu disahkan beberapa pemimpin Bersatu termasuk Ketua Penerangannya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, rombakan terhadap organisasi PN dijangka dilakukan bagi memberi tumpuan lebih berkesan kepada gerak kerja perikatan berkenaan selepas ini.

Beliau turut menyifatkan keputusan Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai langkah bijak dan tepat ketika PN memerlukan momentum baharu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

“Tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas sikap terbuka beliau. Selamat bekerja kepada Pengerusi PN yang baharu,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13371

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *