FAM perlukan perubahan total

TAHUN 2026 wajar dijadikan sebagai masa terbaik buat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ‘reset’ semula dengan berubah secara total dalam usaha memulihkan semula maruah yang telah tercalar sejak dua tahun lalu.

Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli menyifatkan apa yang berlaku khususnya kontroversi melibatkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada tahun lalu wajar dijadikan sebagai pengajaran.

Menurut Pekan, walaupun kes FIFA masih lagi berjalan dan menanti keputusan akhir di Mahkamah Timbang Tara (CAS), tidak ada masalah untuk badan induk bola sepak negara itu melakukan perubahan lebih awal.

Pekan berkata, antara langkah yang boleh dibuat adalah untuk melakukan kongres tahunan lebih awal bagi memilih presiden tetap selepas Datuk Mohd Joehari Ayub meletakkan jawatan pada Ogos lepas.

“Saya rasa tiada masalah jika FAM melakukan kongres lebih awal kerana sudah ramai pihak luar yang mendesak, tetapi mereka buat pekak sahaja.

“Kalau mereka pemegang taruh yang sayang kepada FAM, mungkin mereka sudah fikir bagaimana cara untuk perbetulkan keadaan dan lebih baik reset balik persatuan.

“Antara langkah terbaik seperti meletakkan jawatan secara sukarela dengan mengadakan pemilihan semula untuk membentuk kepimpinan baharu bagi pulihkan semula bola sepak negara dengan lebih cepat,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Pekan masa depan bola sepak negara ketika ini masih nampak tergantung memandangkan semua pihak sedang menunggu keputusan CAS dan hukuman yang akan diberikan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) terhadap FAM.

“Tidak banyak harapan yang boleh kita berikan kerana semua masih menanti keputusan CAS. Selagi kes FIFA belum berakhir, sukar untuk kita melihat hala tuju khususnya buat skuad Harimau Malaya,” katanya.

Sebagai rekod, FAM digegarkan dengan isu pemalsuan dokumen sehingga denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala tujuh pemain warisan Harimau Malaya didenda CHF2,000 (RM10,000) serta digantung selama 12 bulan.

Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi telah mewakili badan induk itu untuk membuat laporan polis pada minggu lalu dan menghantar kes FIFA untuk dirujuk ke CAS dengan persidangan dijangka berlangsung dalam masa terdekat.

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/01/fam-perlukan-perubahan-total/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *