Tragedi Pantai Sura Tengah: Jasad Mohd Fazir Shafie Ditemui

Operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas di Pantai Sura Tengah akhirnya berakhir apabila jasad Mohd Fazir Shafie, 35, ditemukan sekitar jam 12.30 pagi, awal pagi tadi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan AMAL Dungun menerusi satu kenyataan, memaklumkan jasad mangsa ditemui di kawasan berhadapan YY Gemilang.

“Alhamdulillah, mangsa lemas telah ditemui jam 12.30 pagi. Semoga Allah SWT mengampuni dosanya dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman. Takziah buat seluruh ahli keluarga,” menurut kenyataan itu.

Penemuan jasad Mohd Fazir turut disahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin, yang berharap ia dapat memberi sedikit ketenangan buat keluarga mangsa.

“Jasad seorang lagi mangsa lemas, Mohd Fazir Shafie di Pantai Sura pagi tadi, telah ditemui sebentar tadi. Semoga penemuan ini memberi sedikit ketenangan buat keluarga yang menunggu dengan penuh harapan dan sabar,” katanya.

Terdahulu, aktiviti perkelahan sebuah keluarga di Pantai Sura Tengah, Dungun bertukar tragedi apabila dua beradik dilaporkan lemas ketika mandi di pantai berkenaan kira-kira jam 10.27 pagi semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa wanita Nor Baizura Shafie, 37, ditemui kira-kira 25 minit selepas operasi mencari dan menyelamat dilancarkan, namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir, berkata sebelum kejadian, keluarga terbabit yang terdiri daripada tujuh orang dewasa dan lapan kanak-kanak sedang berkelah di pantai berkenaan.

Menurutnya, Nor Baizura dipercayai lemas ketika mandi sebelum adiknya, Mohd Fazir, cuba menyelamatkan mangsa, namun kedua-duanya dihanyutkan ombak.

🔗 Source: https://thereporter.my/tragedi-pantai-sura-tengah-jasad-mohd-fazir-shafie-ditemui/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *