‘Saya tak ambil dadah, tapi positif ganja’

KUALA LUMPUR – Perjalanan pulang selepas menghantar teman wanita bertukar mimpi ngeri buat seorang lelaki apabila dia disahkan positif ganja ketika melalui sekatan jalan raya Op Ambang Tahun Baharu 2026 di Plaza Tol Jalan Duta.

Lelaki berusia 24 tahun itunyang tinggal di Pantai Dalam mendakwa, terkejut apabila keputusan ujian air kencing yang dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terhadap dirinya menunjukkan kehadiran dadah jenis ganja.

Jelas lelaki berkenaan, dia mendakwa tidak pernah mengambil bahan terlarang berkenaan.

Menurutnya, sebelum kejadian dia hanya menghisap rokok elektronik (vape) yang dibeli di kedai dengan harga sekitar RM19 hingga RM23.

“Saya tak pernah isap ganja, rokok pun tidak. Dua bulan lepas pernah buat ujian air kencing, tak sangkut apa-apa (dadah).

“Tapi kali ini dengan tiga kali ujian saringan air kencing, mereka (AADK mendapati) saya positif dadah jenis ganja,” katanya ketika ditemui pemberita pagi tadi.

Dia turut mengakui sudah dua tahun menghisap vape dan mendakwa tidak pernah mengetahui mengenai dadah jenis ganja.

Dalam operasi sama, seorang lagi lelaki tempatan berusia 32 tahun turut ditahan selepas didapati positif syabu.

Suspek yang memandu Toyota Unser ketika itu membawa isteri, abang ipar dan adiknya, mengaku mengambil syabu kira-kira tiga hari sebelum ditahan kerana terpengaruh dengan rakan.

Dia mengaku pernah mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan mendakwa menggunakan bahan berkenaan ‘sekali sekala’ kira-kira dua minggu sekali.

“Lepaskan saya bang (abang) sebab isteri sedang sarat mengandung,” katanya yang mengakui membeli pek kecil syabu dengan harga RM35.

Kedua-dua mereka antara yang ditahan positif dadah untuk siasatan lanjut di bawah undang-undang berkaitan penyalahgunaan dadah.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) JSPT Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd. Rozi Jidin memaklumkan, secara keseluruhan sebanyak 240 lokasi operasi dilaksanakan di seluruh negara termasuk 25 di sekitar ibu negara.

Beliau berkata, operasi itu dijalankan bagi memastikan tahap keselamatan jalan raya sentiasa terjamin selain memfokuskan aktiviti lumba haram pada tengah malam.

“Kita juga akan mengesan pemandu yang menggunakan alkohol dan dadah.

“Polis ingin mendisiplinkan pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan lalu lintas dan diingatkan agar semua menggunakan jalan raya dengan penuh berhemah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/01/saya-tak-ambil-dadah-tapi-positif-ganja/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *