KAJANG 2 Jan – Suasana di sebuah medan selera di Sungai Ramal, di sini, gempar tengah hari tadi apabila berlaku letupan tong gas helium yang mengakibatkan dua gerai rosak teruk serta tiga kenderaan mengalami kerosakan.
Kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu membabitkan tong gas helium yang digunakan untuk mengisi belon.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, letupan berkenaan menyebabkan dua gerai mengalami kerosakan teruk manakala tiga kenderaan turut terjejas, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
“Siasatan setakat ini mendapati kejadian tidak membabitkan sebarang unsur jenayah, sementara punca sebenar kejadian dan nilai kerugian masih disiasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut memaklumkan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menyalurkannya kepada Ketua Polis Balai Kajang, Inspektor Shisheewady Ruzani di talian 016-8565670.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, tong gas helium terbabit diletakkan di dalam sebuah stor berkeluasan 0.92 meter persegi.
Katanya, kesan letupan menyebabkan kerosakan kira-kira 30 peratus terhadap tiga kenderaan iaitu sebuah Proton Wira, Perodua Axia dan sebuah Perodua Myvi.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13443

Leave a Reply