PUTRAJAYA 2 Jan – Kerajaan mengarahkan tindakan segera diambil bagi menggantikan titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai yang runtuh semalam, susulan insiden itu mengakibatkan kecederaan kepada beberapa orang awam serta menjejaskan laluan harian penduduk setempat.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya peruntukan disediakan dan pembinaan jambatan gantian dilaksanakan segera demi keselamatan serta kemudahan rakyat.
Menurut kenyataan itu, kerja penggantian jambatan berkenaan akan diselaraskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama agensi berkaitan.
Kerjasama tersebut bertujuan memastikan tindakan pantas dan berkesan dapat dilaksanakan selain menjamin keselamatan serta akses penduduk di kawasan terjejas.
“Perdana Menteri memandang serius insiden runtuhan sebuah titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai semalam yang mengakibatkan kecederaan kepada beberapa orang awam serta menjejaskan akses harian penduduk sekitar Kampung Pasir Jering, Dusun Ban, Dusun Bunut dan Kampung Batu Pagar.
“Susulan insiden itu, Perdana Menteri telah mengarahkan agar peruntukan disediakan bagi menggantikan jambatan berkenaan segera demi keselamatan dan kemudahan rakyat,” menurut kenyataan itu hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan rasa simpati dan keprihatinan mendalam kepada lebih 50 mangsa yang terlibat dalam kejadian berkenaan, khususnya pasangan pengantin serta keluarga mereka yang diuji dengan musibah tersebut.
Semalam, lebih 50 tetamu termasuk rombongan pengantin lelaki berdepan detik cemas selepas terjatuh ke dalam sungai apabila sebuah titi gantung di Sungai Chatel Damai, Lata Rek runtuh ketika mereka dalam perjalanan menghadiri kenduri perkahwinan.
Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu dipercayai berlaku ketika rombongan pengantin lelaki sedang dalam perjalanan pulang sebelum bertembung dengan tetamu yang selesai menghadiri majlis di atas titi gantung berkenaan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13441

Leave a Reply