JOHOR BAHRU 3 Jan – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor sedang menyiasat satu insiden membabitkan individu yang didakwa mengubah nombor pendaftaran kenderaan Singapura bagi mengisi petrol bersubsidi RON95 di sebuah stesen minyak di negeri ini.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya telah menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan dan pasukan siasatan sudah digerakkan untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Pengadu telah membuat aduan menerusi sistem dan pasukan penguat kuasa sudah digerakkan bagi tujuan pemeriksaan serta siasatan.
“Ketika ini, kita masih menunggu laporan penuh dan hasil siasatan. Maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, tular satu video berdurasi satu minit 30 saat yang memaparkan seorang lelaki dewasa sedang mengisi petrol RON95 di sebuah stesen minyak yang dipercayai terletak di daerah Kulai, menggunakan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura.
Dalam video berkenaan, individu terbabit dilihat menutup beberapa huruf pada nombor pendaftaran kenderaan menggunakan pita pelekat sehingga menyerupai nombor pendaftaran Malaysia.
Pemilik video mendakwa tindakan itu berkemungkinan satu taktik baharu warga asing bagi mengelirukan pihak berkuasa, dengan menutup huruf pertama dan terakhir nombor pendaftaran supaya kelihatan seperti kenderaan tempatan.
Apabila didekati dan disoal, individu berkenaan mendakwa mereka bukan warga Singapura sebaliknya rakyat tempatan, sebelum dilihat cuba meninggalkan lokasi dengan segera.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, pihak polis akan mengambil tindakan saman terhadap pemilik kenderaan sekiranya nombor pendaftaran didapati menyalahi peraturan yang ditetapkan.
Menurut beliau, kejadian itu dipercayai berlaku sekitar jam 10.35 malam semalam, namun laporan hanya diterima pihak polis pada jam 10.05 pagi hari ini.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13451

Leave a Reply