KUALA LUMPUR 5 Jan – Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pahang mengecam keras kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, yang mendesak UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan dengan menggunakan retorik perkauman sehingga didakwa menghasut rakyat.
Timbalan Ketua DAPSY Pahang, Thui Zhi Yong mendakwa, masyarakat mempersoalkan tindakan Akmal yang masih memegang jawatan Exco Kerajaan Negeri Melaka, sedangkan beliau lantang menggesa UMNO meninggalkan kerajaan dan menjadi pembangkang.
Menurutnya, jika Akmal benar-benar bertegas mahu UMNO keluar daripada kerajaan, beliau sepatutnya membuktikan prinsip dan kewibawaannya sebagai pemimpin muda dengan meletakkan jawatan Exco.
“DAPSY Pahang mencabar Akmal supaya meletakkan jawatan Exco Melaka serta-merta dan bukan sekadar bercakap kosong,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zhi Yong berkata, Akmal berulang kali mencetuskan krisis serta keresahan rakyat sehingga diibaratkan sebagai ‘nila setitik, rosak susu sebelanga’.
Beliau mendakwa, dalam beberapa isu sebelum ini termasuk isu stokin, sandwich dan bendera terbalik, Akmal sering bertindak melampaui batas serta mengeluarkan kenyataan kontroversi.
“Akmal kerap berperanan seperti polis moral dan hakim, mengugut pihak lain sesuka hati serta mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman,” katanya.
Menurutnya, Akmal kini menggunakan naratif perkauman dan slogan ‘perpaduan Melayu’ bagi mendesak UMNO keluar daripada Kerajaan Perpaduan serta secara terbuka menyeru kerjasama dengan Pas.
“DAPSY Pahang berpandangan gaya politik Akmal umpama samseng jalanan yang mencabar ketenteraman awam dan jelas bercanggah dengan struktur serta semangat Kerajaan Perpaduan,” dakwanya.
Sehubungan itu, katanya, DAPSY Pahang mendesak DAP dan DAPSY Kebangsaan supaya memutuskan hubungan sepenuhnya dengan Akmal kerana tindakannya disifatkan mencemarkan imej kerajaan dan menggugat keharmonian masyarakat majmuk.
Zhi Yong menegaskan, Kerajaan Perpaduan diwujudkan bagi menjamin kestabilan politik serta memelihara kepelbagaian dan keharmonian negara, bukannya memberi ruang kepada ahli politik ekstrem yang memainkan politik kebencian.
Tambahnya, Pahang sebagai antara negeri terawal membentuk Kerajaan Perpaduan menyaksikan kerjasama Pakatan Harapan-Barisan Nasional berjalan lancar, dan sebarang hubungan berterusan dengan Akmal hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keikhlasan kerajaan.
“DAPSY Pahang percaya hanya dengan mengambil langkah tegas, Kerajaan Perpaduan mampu bergerak lebih mantap dan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran yang kompeten, progresif dan berteraskan tatakelola baik,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13467

Leave a Reply