Zohran Mamdani hubungi Trump, bantah penahanan Presiden Venezuela

Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani, mengecam tindakan tentera Amerika Syarikat yang menangkap Presiden Venezuela Nicolás Maduro dan isterinya. Beliau menyifatkan tindakan berkenaan sebagai ‘tindakan perang’ dan pelanggaran undang-undang antarabangsa, selepas Presiden Donald Trump mengumumkan operasi tentera besar-besaran di Venezuela yang membawa kepada penahan mereka dan dibawa ke New York untuk dihadapkan ke Mahkamah Persekutuan.

Dalam hantaran di X Mamdani turut menegaskan bahawa fokus utamanya adalah keselamatan komuniti Venezuela di New York dan pentadbirannya akan terus memantau perkembangan serta mengeluarkan panduan berkaitan.

“Saya dimaklumkan mengenai penahanan Presiden Venezuela Nicolás Maduro dan isterinya serta perancangan mereka akan dipenjara dalam tahanan persekutuan di sini, di New York City.

“Serangan unilateral terhadap negara berdaulat adalah act of war dan pelanggaran undang-undang persekutuan serta antarabangsa.

“Ini bukan sahaja memberi kesan kepada mereka di luar negara, sebaliknya memberi impak langsung kepada penduduk bandar raya New York, termasuk puluhan ribu warga Venezuela yang menjadikan bandar itu sebagai kediaman mereka,” katanya.

Selain hantaran di X, Mamdani turut menghubungi Presiden Donald Trump secara langsung bagi menyatakan bantahan beliau terhadap operasi ketenteraan tersebut dan penahanan Maduro. Beliau menyatakan bahawa bantahan itu berakar daripada prinsip menentang usaha ‘regime change’ dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

“Saya menghubungi presiden dan bercakap dengannya secara langsung untuk menyatakan bantahan saya terhadap tindakan ini,” kata Mamdani.

Reaksi terhadap operasi Amerika Syarikat itu tidak terhad kepada Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani. Beberapa negara serta pemimpin dunia turut mengecam tindakan tersebut sebagai pelanggaran kedaulatan negara dan undang-undang antarabangsa.

Sebaliknya, kerajaan Presiden Donald Trump mempertahankan operasi berkenaan dengan mendakwa ia perlu bagi mengekang aktiviti kartel dadah dan keganasan yang dikaitkan dengan rejim Nicolás Maduro.

Dalam konteks politik tempatan Amerika Syarikat, beberapa pemimpin Demokrat lain juga menyuarakan kebimbangan tentang penggunaan kuasa ketenteraan tanpa kebenaran Kongres, manakala sesetengah penyokong Trump menyokong operasi itu sebagai langkah tegas terhadap rejim yang dituduh terlibat dalam jenayah terancang.

🔗 Source: https://thereporter.my/zohran-mamdani-hubungi-trump-bantah-penahanan-presiden-venezuela/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *