Hiburan tanah air sekali lagi berduka dengan pemergian seorang lagi permata seni, pelakon, penyanyi, dan pelawak terkenal, Isma Aliff. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 8 pagi tadi di kediamannya di Ampang.
Perkhabaran duka itu dimaklumkan oleh adiknya, Shamsidar Ismail. Menurut Shamsidar, Isma sudah seminggu terlantar akibat masalah kesihatan, termasuk kesukaran untuk bercakap kerana sakit tekak.
“Sejak minggu lalu abang kurang sihat, susah nak berbual macam biasa kerana sakit tekak. Tahap kesihatannya pun menurun serta lebih banyak berbaring,” kata Shamsidar.
Menurut Shamsidar, jenazah Allahyarham masih berada di rumahnya di Kampung Melayu Ampang dan pihak keluarga sedang menunggu arahan lanjut berkaitan urusan mandi jenazah serta lokasi pengebumian.
Memetik laporan Kosmo, Isma pernah mengalami serangan angin ahmar pada Disember 2023 yang menyebabkan lumpuh sebelah kiri tubuh.
Allahyarham memulakan kerjaya dalam dunia hiburan pada tahun 1986 menerusi program televisyen RTM dan dikenali ramai menerusi filem seperti Marah Marah Sayang dan Mawar Merah. Antara naskhah lakonannya termasuk Sayang Ibu, Jaket Biru, Kembar Siam, Romeo, serta menyumbang suara latar dalam Budak Lapok Osman. Beliau juga kerap membintangi pelbagai drama popular.
Selain berlakon, Isma turut mencipta nama dalam industri muzik dengan menghasilkan empat album iaitu Eksyen Saja, Dengar Tau, Kembara Duka, dan Macam-Macam Ada. Kali terakhir beliau muncul di kaca televisyen adalah dalam program realiti Maharaja Lawak Mega 2013 bersama kumpulan Osama, bersama Allahyarham Mr. Os.
🔗 Source: https://thereporter.my/isma-aliff-meninggal-dunia/

Leave a Reply