AGC putuskan tiada tindakan lanjut 47 pertuduhan ke atas Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR 8 Jan – Kes membabitkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkait dana Yayasan Akalbudi terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berakhir apabila Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) diambil.

AGC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, keputusan berkenaan sekali gus membawa kepada penamatan muktamad kes terbabit, selaras dengan kuasa serta budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.

AGC menegaskan keputusan itu dibuat berasaskan pertimbangan profesional dan undang-undang, dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan serta keperluan memastikan kepastian dan ketelusan sistem keadilan jenayah.

Kenyataan itu memaklumkan bahawa AGC mengambil kira keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan berkenaan.

“Berikutan keputusan DNAA itu, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merangkumi aspek berkaitan sumber dana, kaedah perolehan serta penggunaan dana berkenaan.

“Ia termasuk perkara-perkara dibangkitkan melalui enam representasi dikemukakan kepada jabatan ini selepas Ahmad Zahid dipanggil untuk membela diri.

“Selepas meneliti keseluruhan bahan serta keterangan baharu diperoleh hasil siasatan lanjut dan penelitian terbabit, AGC berdasarkan penilaian serta pertimbangan pendakwaan, mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan bagi semua pertuduhan berkenaan,” katanya.

Menurut AGC, penelitian itu dibuat dengan turut mengambil kira empat perkara, termasuk skop dan fokus siasatan pada peringkat awal yang berkaitan secara langsung dengan pertuduhan difailkan.

“Selain itu, pertimbangan dan penilaian dalaman pendakwaan yang telah direkodkan pada peringkat awal berhubung kesesuaian dan kecukupan keterangan bagi menyokong pendakwaan serta kebolehkekalan penerusan pendakwaan,” katanya.

AGC berkata, pertimbangan itu turut melibatkan langkah siasatan lanjut dan terperinci yang dijalankan SPRM bagi melengkapkan serta memperhalusi gambaran keseluruhan fakta, konteks dan keterangan baharu kes.

“Selain itu, dapatan hasil siasatan lanjut terbabit yang merangkumi keseluruhan tempoh penubuhan serta operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana ke dalam yayasan berkenaan dari semasa ke semasa,” katanya.

Disember lalu, AGC dilaporkan menegaskan bahawa keputusan memohon DNAA terhadap Ahmad Zahid dibuat selaras dengan peruntukan undang-undang.

Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkait dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah, yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan bahawa AGC ingin memberhentikan prosiding terhadap Ahmad Zahid.

Mahkamah Tinggi turut dilaporkan menyatakan bahawa siasatan yang masih berjalan serta penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja menjadi asas keputusannya ketika itu untuk menolak permohonan Ahmad Zahid supaya dibebaskan sepenuhnya daripada semua pertuduhan berkenaan.

Pada Jun 2024, media melaporkan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Badan Peguam untuk mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara memberhentikan prosiding kes membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Melalui permohonan difailkan pada 2 Disember 2023, Badan Peguam yang menamakan Peguam Negara serta Ahmad Zahid sebagai responden, memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon agar Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan, dibatalkan.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13506

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *