120 individu dikompaun RM2,000 buang sampah di tempat awam

Seramai 120 individu, termasuk tiga warganegara Singapura, dikenakan tindakan kompaun RM2,000 serta Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) kerana membuang sampah di tempat awam.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tindakan undang-undang terhadap kesemua individu berkenaan akan diteruskan ke mahkamah selepas mendapat keizinan Jabatan Peguam Negara (AGC), selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurutnya, di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), hukuman maksimum bagi kesalahan membuang sampah kecil ialah kompaun antara RM2,000 hingga RM10,000, selain hukuman khidmat masyarakat selama 12 jam.

“Hukuman khidmat masyarakat ini perlu dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan. Jika pesalah uzur atau tidak mampu melaksanakannya secara berterusan, ia boleh dilakukan secara berperingkat, contohnya dua jam setiap sesi sehingga mencukupi 12 jam,” katanya.

Pesalah juga diwajibkan memakai jaket hijau dan akan diiringi oleh petugas SWCorp semasa melaksanakan hukuman berkenaan.

Nga Kor Ming turut memaklumkan bahawa bermula 1 Januari 2026, PKM di bawah Akta 672 akan dikuatkuasakan di lapan negeri dan wilayah, khusus bagi menangani kes pembuangan sampah kecil secara lebih berkesan.

Beliau menjelaskan, bagi negeri yang telah menerima pakai Akta 672, penguatkuasaan akan dilaksanakan oleh SWCorp, manakala bagi negeri yang belum menerima pakai akta tersebut, pelaksanaan akan dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Walaupun agensi pelaksana berbeza, prinsip dan hukuman adalah sama bagi memastikan keadilan kepada semua,” tegasnya.

Mengulas keberkesanan penguatkuasaan, Nga Kor Ming berkata tindakan tegas terbukti berjaya apabila kawasan Bukit Bintang kekal bersih walaupun menjadi tumpuan puluhan ribu pengunjung sempena penganjuran acara besar baru-baru ini.

“Ini membuktikan bahawa disiplin dan penguatkuasaan undang-undang mampu membentuk budaya kebersihan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa pihak kementerian turut memperkukuh aspek penguatkuasaan dengan pembelian 100 unit motosikal penguatkuasaan, bagi membolehkan anggota memasuki lorong-lorong kecil dan kawasan sempit.

Beliau turut mengingatkan ibu bapa supaya memainkan peranan mendidik anak-anak dan tidak menganggap golongan bawah 18 tahun terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang terpakai kepada semua tanpa mengira umur, kewarganegaraan atau latar belakang,” katanya.

🔗 Source: https://thereporter.my/120-individu-dikompaun-rm2000-buang-sampah-di-tempat-awam/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *