‘Kebenaran terbukti jua’ – Zahid Hamidi

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan rasa syukur beliau selepas keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan tiada tindakan lanjut (NFA) akan diambil terhadapnya berhubung 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

“Syukur Alhamdulillah. Masa akhirnya menjawab segalanya, kebenaran terbukti jua,” kata Ahmad Zahid.

Terdahulu, keputusan Jabatan Peguam Negara itu dibuat selepas penilaian menyeluruh terhadap siasatan tambahan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 September 2023 yang melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada semua pertuduhan berkenaan.

Menurut AGC, siasatan tambahan merangkumi analisis sumber dana, kaedah perolehan, penggunaan dana, serta enam representasi yang dikemukakan oleh pihak terbabit. Jabatan Peguam Negara mendapati bahawa keterangan yang diperoleh tidak mencukupi untuk menyokong penerusan pendakwaan terhadap semua pertuduhan tersebut.

Beberapa faktor telah diambil kira dalam membuat keputusan ini, termasuk skop dan fokus siasatan awal, penilaian dalaman mengenai kesesuaian bukti pada peringkat awal, langkah-langkah siasatan lanjut oleh SPRM, serta dapatan berkaitan operasi Yayasan Akalbudi, termasuk aliran dan sumbangan dana dari semasa ke semasa.

Jabatan Peguam Negara menegaskan bahawa keputusan itu dibuat berdasarkan pertimbangan profesional dan undang-undang, selaras dengan kuasa Peguam Negara di bawah Perlembagaan Persekutuan. Keputusan ini diambil dengan mengambil kira kepentingan keadilan, integriti proses pendakwaan, serta kepastian dan ketelusan dalam sistem keadilan jenayah.

🔗 Source: https://thereporter.my/kebenaran-terbukti-jua-zahid-hamidi/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *