MOTAC arah jaminan bank dilaksana segera

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memandang serius insiden membabitkan seramai 36 jemaah umrah Malaysia yang terkandas di Madinah selepas agensi Al Aisy Travel & Tours Sdn. Bhd. gagal menyediakan penginapan serta tiket penerbangan pulang seperti yang dijanjikan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, jemaah terlibat termasuk warga emas dan kanak-kanak telah membuat bayaran penuh sebanyak RM7,600 seorang namun terpaksa berdepan tekanan kewangan dan emosi apabila agensi berkenaan mengabaikan tanggungjawab asas mereka. Lebih menyedihkan, kumpulan jemaah itu terpaksa mendapatkan bantuan derma bagi membolehkan mereka membeli tiket penerbangan pulang ke tanah air.

Menurut beliau, insiden berkenaan sekali lagi membuktikan keperluan mendesak untuk melaksanakan kewajipan jaminan bank (Bank Guarantee) sebagai syarat mandatori pelesenan agensi pelancongan, khususnya pengendali pakej umrah, di bawah peruntukan Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

“Langkah ini bukan sahaja wajar, malah semakin mendesak bagi melindungi jemaah dan pengguna daripada pengusaha yang tidak bertanggungjawab serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap industri umrah dan pelancongan negara,” katanya.

Tiong menjelaskan, kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku, malah berulang sehingga menimbulkan kemarahan masyarakat serta rasa tidak berdaya dalam kalangan mangsa. Ramai jemaah sebelum ini dilaporkan menanggung kerugian besar dan terpaksa mencari jalan pulang sendiri tanpa sebarang sokongan daripada agensi yang sepatutnya bertanggungjawab.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan pelaksanaan segera mekanisme jaminan bank sebagai syarat wajib kepada semua agensi pelancongan yang menawarkan pakej umrah. Menurutnya, langkah tersebut penting bagi memastikan wang jemaah sentiasa dilindungi dan pampasan dapat disalurkan tanpa kelewatan sekiranya berlaku penipuan, kecuaian atau kegagalan agensi.

“Ini bukan beban kepada pengusaha yang jujur, sebaliknya satu tindakan tegas untuk membina ekosistem pelancongan yang selamat, boleh dipercayai dan berintegriti,” katanya.

Jelas beliau,laporan mengenai kejadian itu diterima MOTAC melalui Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, dan kesemua jemaah terlibat telah selamat tiba di KLIA Terminal 2 pada 6 Januari 2026. Walaupun kepulangan mereka amat melegakan, Tiong menegaskan bahawa hakikat insiden seperti ini masih berlaku adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.

“Hasil siasatan awal mendapati premis syarikat berkenaan tidak lagi beroperasi dan terdapat beberapa pelanggaran serius di bawah Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan 1992.

“Susulan itu, MOTAC telah menjalankan penggeledahan, merakam percakapan pihak syarikat serta jemaah terlibat, selain membuka kertas siasatan. Kertas syor pembatalan lesen syarikat juga sedang dimuktamadkan untuk pertimbangan pengurusan tertinggi kementerian,”katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Tiong mendedahkan bahawa dari tahun 2023 hingga Oktober 2025, MOTAC telah melaksanakan 64 operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan penggantungan dan pembatalan lesen terhadap agensi pelancongan yang melanggar undang-undang. Dalam tempoh itu, empat lesen digantung manakala dua lesen dibatalkan.

Namun katanya, kejadian yang terus berulang menunjukkan pendekatan sedia ada perlu diperkukuh dan diperketat.

MOTAC turut menyeru orang ramai supaya sentiasa menyemak status lesen agensi pelancongan sebelum membuat sebarang bayaran, selain melaporkan segera sebarang penyelewengan agar tindakan pantas dapat diambil.

“Kebajikan jemaah dan pengguna adalah keutamaan MOTAC. Tindakan tegas akan diteruskan bagi memastikan industri pelancongan, khususnya sektor umrah, hanya dikendalikan oleh pengusaha yang benar-benar berintegriti, profesional dan bertanggungjawab,” tegasnya.

Sumber: Facebook Datuk Seri Tiong King Sing

🔗 Source: https://thereporter.my/motac-arah-jaminan-bank-dilaksana-segera/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *