Sebelum ini, nama Hilmi pernah mencuri perhatian ramai apabila kisah hidupnya tular menjadi mangsa penipuan. Hilmi yang berhijrah dari Kelantan ke Bukit Mertajam demi membina kehidupan baharu bersama isteri dan lima anak kecil, berdepan mimpi ngeri apabila ditipu sehingga kehilangan tempat tinggal. Akibatnya, tujuh beranak itu terpaksa bermalam di dalam kereta usang.
Kisah menyayat hati itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, yang tampil menghulurkan bantuan dan memberi peluang kepada Hilmi untuk bangkit semula. Setahun selepas episod hitam itu, Steven Sim baru-baru ini menerima satu pesanan WhatsApp daripada Hilmi yang mengucapkan terima kasih dan menjemput beliau menziarahi rumahnya.
Menurut Steven Sim, beliau mengambil sedikit masa untuk menunaikan jemputan tersebut bagi melihat sendiri perubahan hidup keluarga Hilmi. Ketibaan beliau disambut penuh emosi apabila Hilmi terus memeluknya sambil mengucapkan terima kasih.
“Lelaki yang saya temui setahun lalu sedang duduk di tepi kereta usang bersama isteri dan lima anak kecil, hari ini berdiri di depan rumah sendiri dengan senyuman dan keyakinan,” katanya.
Steven turut memaklumkan Hilmi kini bekerja tetap sebagai pemandu lori dengan pendapatan bulanan melebihi RM5,000, cukup untuk menyara keluarga.
“Sekarang Hilmi ada kerja tetap sebagai pemandu lori. Gaji agak lumayan, cukup untuk sara keluarga. Tapi kerja jauh, jarang ada di rumah. Hari ini, dia ambil cuti khas sebab tahu saya nak datang. Katanya, ‘Saya nak YB tengok sendiri hasil bantuan YB. Saya tak lupa’,” katanya.
Steven Sim menegaskan beliau tidak mengharapkan penghargaan atas bantuannya, sebaliknya lebih terkesan melihat perubahan hidup Hilmi dan keluarganya.
Menurut beliau lagi, Hilmi dan isterinya bukan sahaja berjaya bangkit, malah melakukannya dengan penuh maruah, tanpa merungut atau meminta-minta.
🔗 Source: https://thereporter.my/steven-sim-kongsi-perubahan-hidup-hilmi/

Leave a Reply