JAKARTA 9 Jan – Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah (KPK) Indonesia mengesahkan bekas Menteri Agama, Yaqut Cholil Qoumas, dinamakan sebagai suspek dalam siasatan kes dakwaan rasuah berkaitan pengurusan kuota haji negara itu.
Pengesahan tersebut dibuat oleh Timbalan Pengerusi KPK, Fitroh Rohcahyanto hari ini, seperti dilaporkan Agensi Berita ANTARA.
Bagaimanapun, Fitroh tidak memperincikan jumlah keseluruhan suspek yang terlibat atau sama ada Yaqut merupakan satu-satunya individu yang disiasat dalam kes berkenaan.
Menurut laporan ANTARA, KPK telah memulakan siasatan terhadap dakwaan rasuah melibatkan kuota haji itu pada 29 Ogos 2025. Hasil siasatan awal menganggarkan potensi kerugian negara melebihi 1 trilion rupiah (1 juta rupiah = RM241.90).
Susulan siasatan tersebut, tiga individu telah dikenakan larangan ke luar negara bagi tempoh enam bulan, termasuk Yaqut.
Dua lagi individu yang turut dikenakan sekatan perjalanan ialah Ishfah Abidal Aziz atau dikenali sebagai Gus Alex, bekas kakitangan khas kepada Yaqut, serta Fuad Hasan Masyhur, pemilik agensi pelancongan haji Maktour.
Sehingga 18 September 2025, KPK turut mengenal pasti sebanyak 13 persatuan serta kira-kira 400 agensi pelancongan haji yang disyaki terbabit dalam kes rasuah berkenaan. – BERNAMA
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13516

Leave a Reply