Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengkaji semula keperluan untuk mengembalikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang dimansuhkan masing-masing pada 2021 dan 2022.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kajian itu akan dilaksanakan melalui pengaktifan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang berperanan meneliti permintaan masyarakat, khususnya ibu bapa, yang masih menyuarakan kebimbangan terhadap pemansuhan dua peperiksaan awam berkenaan.
Menurut beliau, laporan kaji selidik serta dapatan menyeluruh yang dikemukakan MPPK kelak akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi membolehkan keputusan muktamad dibuat oleh Kabinet.
“Kita akan mengkaji semula peperiksaan ini kerana ia masih menjadi permintaan ibu bapa. Apa sahaja bentuk peperiksaan atau penilaian yang menjadi polemik masyarakat akan dibincangkan secara menyeluruh oleh MPPK sebelum diserahkan kepada Kabinet,” katanya.
Dalam ucapannya pada Program Amanat Tahun Baharu YB Menteri Pendidikan, beliau menegaskan bahawa tugasan utama MPPK tahun ini adalah menilai sama ada UPSR dan PT3 perlu dikembalikan, diteruskan dalam bentuk lain, atau digantikan dengan kaedah pentaksiran yang lebih sesuai.
Fadhlina menjelaskan, isu peperiksaan awam masih kerap dibangkitkan oleh masyarakat di mana sahaja beliau turun padang, termasuk kebimbangan yang disuarakan oleh pendidik, terutamanya mereka yang berkhidmat di kawasan pedalaman.
“Tugasan utama MPPK adalah melihat kembali aspek peperiksaan, penilaian dan pentaksiran yang masih diperkatakan dalam masyarakat. Kita tidak boleh terpisah daripada hasrat dan aspirasi rakyat kerana suara mereka mesti didengar,” katanya.
🔗 Source: https://thereporter.my/kpm-kaji-semula-keperluan-kembalikan-upsr-pt3/

Leave a Reply