KERINDUAN Kim Pan-gon untuk menyumbangkan sesuatu dalam arena bola sepak Malaysia akhirnya terubat selepas debut sempurna bersama Selangor FC yang membelasah DPMM FC 5-2 pada aksi Liga Super di Stadium Negara Hassanal Bolkiah kelmarin.
Jurulatih dari Korea Selatan itu mengakui tiga mata kali ini memberi 1,001 makna dan menganggap ia hanya permulaan buat perjalanan kariernya di Malaysia.
“Perasaan amat bangga untuk menjadi sebahagian daripada Selangor FC, jadi saya boleh menyumbang sesuatu untuk membangunkan identiti pasukan. Saya cuba untuk membina karakter yang bagus untuk pasukan bermain bola sepak.
“Tidak hanya tentang prestasi, saya fikir perkara penting juga adalah untuk memenangi perlawanan. Kemenangan pertama cukup bermakna pada ‘kepulangan’ semula saya ke Malaysia.
“Saya juga cukup hargai semua pemain dan juga penyokong pasukan. Sudah pasti saya akan cuba sehabis baik untuk menyumbangkan sesuatu kepada bola sepak Selangor FC,” katanya.
Bekas pengendali Harimau Malaya itu juga mengakui gembira dengan komitmen pemain yang begitu bersemangat melaksanakan perancangannya walaupun hanya sempat berlatih bersama selama tiga hari.
“Saya gembira lihat apa yang kami sudah lakukan dalam tiga hari persiapan, pemain menunjukkan kesungguhan dan kali ini mereka tampil dengan berani.
“Keadaan padang agak sukar dan DPMM FC juga kuat, namun saya fikir ini sebagai permulaan, tidak boleh berpuas hati kerana perjalanan masih lagi jauh,” katanya.
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/selangor-menang-debut-sempurna-kpg/

Leave a Reply