Greenland akan jadi milik Amerika apa cara sekalipun – Trump

WASHINGTON – Presiden Donald Trump berkata semalam bahawa Amerika Syarikat (AS) akan mengambil Greenland ‘walau apa cara sekalipun’ dan memberi amaran, Russia serta China akan berbuat demikian sekiranya Washington tidak bertindak.

Trump berkata, mengawal wilayah milik Denmark yang kaya dengan mineral itu penting untuk keselamatan AS memandangkan peningkatan aktiviti ketenteraan Russia dan China di rantau Artik.

“Jika kita (AS) tidak mengambil Greenland, Russia atau China akan melakukannya dan saya tidak akan membiarkan itu berlaku,” kata Trump kepada wartawan di dalam pesawat rasmi Air Force One.

Menurut Trump, beliau terbuka untuk membuat perjanjian dengan wilayah pemerintahan sendiri itu ‘tetapi dengan apa cara sekalipun, kita akan memiliki Greenland.’

Dalam pada itu, Denmark dan sekutu Eropah lain menyuarakan kejutan terhadap ancaman Trump ke atas pulau itu, yang memainkan peranan strategik antara Amerika Utara dan Artik, dan tempat Amerika Syarikat mempunyai pangkalan tentera sejak Perang Dunia Kedua.

Greenland yang merupakan jajahan Denmark sehingga tahun 1953, memperoleh pemerintahan sendiri 26 tahun kemudian dan sedang mempertimbangkan untuk melonggarkan ikatannya dengan Copenhagen.

Majoriti penduduk dan parti politiknya mengatakan bahawa mereka tidak mahu berada di bawah kawalan AS dan bertegas bahawa penduduk Greenland mesti memutuskan masa depan sendiri, pandangan yang terus dicabar oleh Trump.

“Greenland harus membuat perjanjian itu, kerana Greenland tidak mahu melihat Russia atau China menawannya,” kata Trump.

“Anda tahu apa pertahanan mereka (Greenland) , dua kereta luncur anjing,” tambahnya, sementara Rusia dan China mempunyai ‘kapal pemusnah dan kapal selam di merata-rata tempat.’ – AFP

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/12/denmark-akan-jadi-milik-amerika-apa-cara-sekalipun-trump/#google_vignette

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *