PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh berjaya dalam rayuannya saman fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berhubung kenyataan fitnah pada satu forum di sebuah univerisiti enam tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azimah Omar (yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan) selepas membenarkan rayuan Hannah selaku perayu untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Dr. Choo Kah Sing dan Datuk Dr. Shahnaz Sulaiman.
Mahkamah turut memerintahkan Musa membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 dan kos RM60,000 terhadap Hannah yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).
Sepanjang prosiding rayuan pada tahun lalu, Hannah diwakili peguam-peguam Razlan Hadri Zulkifli, Datuk S.Aambiga dan Sangeet Kaur Deo manakala Musa sebagai responden diwakili peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz.
Sebelum ini Hannah memfailkan rayuan pada 26 Disember 2024 selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember tahun sama menolak saman fitnahnya terhadap Musa.
Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi ketika itu memutuskan demikian selepas mendapati Hannah selaku plaintif gagal membuktikan Musa sebagai defendan mempunyai niat jahat dan kenyataan yang dikeluarkannya itu berunsur fitnah.
Semasa memutuskan keputusan itu, dapatan mahkamah adalah majlis forum itu dilindungi keistimewaan dan Musa mempunyai alasan yang munasabah dalam kenyataannya berdasarkan pengakuan dan penulisan Hannah dalam bukunya, Becoming Hannah: A Personal Journey.
“Kenyataan itu dibuat pada forum yang membincangkan isu keselamatan negara, di mana defendan bercakap sebagai bekas ketua polis negara mengenai ancaman keselamatan yang dirasakan dan tiada bukti sebarang niat jahat kerana defendan membuat kenyataan berdasarkan analisis akademik dalam konteks kebimbangan terhadap keselamatan negara.
“Defendan hanyalah penceramah jemputan tanpa mengetahui forum akan disiarkan dan hanya mengetahui penstriman Facebook Live pada penghujungnya. Dia tidak mempunyai kawalan ke atas penerbitan (kenyataan) itu,” katanya.
Justeru dengan keputusan itu mahkamah memerintahkan Hannah membayar kos sebanyak RM40,000 kepada Musa.
Menerusi saman yang difailkan pada 3 Julai 2020, Hannah mendakwa Musa memberi ucapan pada forum itu dengan mengeluarkan kenyataan tidak benar mengenai dirinya dan dibuat dengan niat jahat serta mencemarkan nama baiknya.
Kenyataan yang dipertikaikan itu mendakwa Hannah menulis bukunya Becoming Hannah: A Personal Journey. untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan Malaysia, dan meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara. – KOSMO! ONLINE

Leave a Reply