‘Tiada siapa mahukan perceraian, jangan berlagak tahu keseluruhan cerita’

PETALING JAYA – Pelakon Aprena Manrose meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir netizen yang dilihat melampaui batas dengan melontarkan komen berunsur kebencian susulan perceraian sepupunya, Uqasha Senrose.

Ujar Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman, 33, ketenangan jauh lebih wajar diraikan berbanding kata-kata negatif yang hanya mengeruhkan keadaan.

“Biar bising di luar sana, tenang tetap menjadi bahasa jiwa kita, Uqasha,” tulisnya menerusi satu hantaran dalam Threads.

Bagaimanapun, perkongsian ringkas itu mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang sama banyak menghentam dan menyokong.

Enggan berlanjutan, pelakon Hello, Saya Anak Uncle! itu menasihati orang luar agar tidak menjadi ‘terpaling’ seolah-olah duduk serumah dengan Uqasha.

“Komen mengenai Uqasha terlalu biadab dan kasar, seolah-olah sarat dengan kebencian.

“Saya baca pun sudah berasa sedih, apatah lagi keluarga dia. Tiada siapa menginginkan perceraian. Janganlah kita berlagak seperti tahu keseluruhan cerita,” tegasnya

Paling penting kata Aprena, kedua-dua pihak mempunyai kekhilafan tersendiri dan masyarakat tidak seharusnya cepat menjatuhkan hukum.

“Kedua-dua mereka ada salah masing-masing. Jangan mudah menghukum, takut berbalik kepada diri sendiri.

“Dosa dengan Tuhan boleh mohon keampunan, tetapi dosa sesama manusia? Daripada mencaci, lebih baik kita mendoakan. Itu jauh lebih mulia,” ujarnya.

Terdahulu, Kamal Adli dan Uqasha Senrose sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada pukul 12.56 tengah hari, semalam.

Lafaz cerai dibuat di hadapan Hakim Syarie Siti Noraini Mohd. Ali selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan Uqasha mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Mahkamah turut memerintahkan Uqasha menjalani tempoh idah selama tiga kali suci bermula tarikh lafaz talak serta mendaftarkan perceraian pasangan tersebut. – KOSMO! ONLINE

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/13/tiada-siapa-mahukan-perceraian-jangan-berlagak-tahu-keseluruhan-cerita/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *