KUALA LUMPUR 13 Jan – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan pendiriannya untuk terus kekal sebagai rakan gabungan yang berprinsip, konsisten dan setia dalam Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerjasama dalam PN akan terus dipelihara demi memastikan kestabilan serta kekuatan gabungan politik tersebut.
Menurut beliau, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bermesyuarat malam tadi turut menyambut nasihat Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar semua ahli kekal beristiqamah, berdisiplin dan menjunjung budaya saling menghormati.
Dalam masa sama, katanya, MPT turut mengambil maklum nasihat supaya sebarang perbezaan pandangan diselesaikan secara berhemah, matang dan tertutup demi kepentingan parti serta gabungan.
“MPT juga telah mendengar hujah Presiden berhubung pengumuman peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi PN.
“MPT menghormati keputusan tersebut dan akan mempertahankan keputusan yang dibuat berlandaskan prinsip serta rasa tanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.
Mesyuarat MPT Bersatu itu merupakan yang pertama bagi tahun ini dan dipengerusikan Muhyiddin, selain turut dihadiri Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Sementara itu, Mohamed Azmin menegaskan bahawa Bersatu menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan dalam krisis kepimpinan di Perlis.
Sehubungan itu, beliau berkata, MPT Bersatu melahirkan rasa kesal terhadap dakwaan dan fitnah yang dilemparkan kononnya parti itu mengkhianati persefahaman dalam PN di negeri berkenaan.
Jelasnya, MPT telah mendengar penjelasan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berhubung krisis politik yang berlarutan di negeri itu dan berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Perlis.
“MPT menasihati Menteri Besar serta Badan Pimpinan Negeri supaya terus memelihara perpaduan, keharmonian dan kerjasama dalam PN di Perlis,” katanya.
Tambah beliau, MPT Bersatu akan terus menjunjung titah dan nasihat Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail dalam usaha membangunkan negeri itu demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran Perlis.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13543

Leave a Reply