Dakwaan hotel ‘gay friendly’ di Melaka cetus perdebatan warganet

MELAKA 13 Jan– Tular satu hantaran di media sosial yang mendakwa kewujudan sebuah hotel berkonsepkan ‘gay friendly’ di Melaka, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan warganet sejak semalam.

Hantaran itu dikongsikan oleh pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung yang membangkitkan persoalan mengenai trend penjenamaan perniagaan menggunakan label ‘friendly’ sebagai strategi pemasaran.

Penceramah berketurunan Cina itu turut membandingkan istilah ‘gay friendly’ dengan konsep lain seperti ‘pet-friendly’, ‘family friendly’ dan ‘Muslim friendly’ yang menurutnya semakin digunakan secara meluas dalam sektor perniagaan.

“Agak kreatif penjenamaan. Label ‘Muslim friendly’ pun boleh dijadikan bisnes, apatah lagi ‘gay friendly’. Lepas ini apa pula idea kreatif akan muncul? ‘Babi friendly’ atau ‘LGBT friendly’?

“Ingatkan sukan sahaja ada istilah ‘friendly’, tidak sangka pula konsep ‘gay’ juga dipromosikan secara terbuka,” tulisnya secara sinis dalam hantaran berkenaan.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi netizen, termasuk kritikan keras terhadap konsep terbabit, selain ada yang menyatakan rasa terkejut dengan dakwaan keterbukaan menerima golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT).

“Hapus sahaja hotel itu. Tidak bermaslahat buat kami,” tulis seorang pengguna media sosial, manakala seorang lagi mempersoalkan lokasi hotel berkenaan dengan bertanya, “Hotel mana ni?”

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pihaknya telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan yang tular itu.

“Saya telah meminta JAIM membuat siasatan terlebih dahulu dan kita tidak boleh membuat sebarang keputusan awal sehingga maklumat lengkap serta bukti diperoleh,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13541

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *