SHAH ALAM – Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) kini memberikan tumpuan untuk menguasai ekosistem runcit yang berkaitan dengan industri automotif, dengan matlamat merealisasikan sepenuhnya konsep perjalanan pengalaman pelanggan pada tahun 2026.
Strategi ini diyakini dapat memperkukuhkan kedudukan EON dalam pasaran domestik, sekaligus memberikan kelebihan berbanding pesaing lain yang hanya memfokuskan kepada elemen harga sebagai tarikan utama.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Akkbar Danial berkata, langkah ini bertujuan mengekalkan kesetiaan pelanggan serta meningkatkan kepuasan mereka terhadap jenama EON.
Beliau menekankan bahawa perkhidmatan pelanggan menjadi keutamaan, dengan memastikan pengalaman terbaik diberikan dari peringkat awal mengenali produk EON, proses membuat keputusan membeli, sehinggalah selepas pembelian dan pasca jualan.
“Kita berhasrat menyediakan solusi menyeluruh kepada pelanggan bagi memastikan mereka merasai nilai terbaik pada setiap peringkat apabila memilih EON.
“Ia termasuk menyediakan penyelesaian pembiayaan, khidmat selepas jualan, serta peluang menukar kenderaan lama kepada yang baharu tanpa kesulitan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, pendekatan holistik ini akan memperkukuhkan kedudukan EON, bukan sekadar sebagai pengedar kenderaan semata tetapi juga sebagai penyedia penyelesaian menyeluruh pelanggan dalam ekosistem pemilikan kereta.
“Contohnya, pelanggan tidak perlu bergantung kepada pihak ketiga untuk menilai atau melupuskan kenderaan lama. EON akan menguruskan keseluruhan proses, termasuk mendapatkan harga terbaik dan menyediakan pinjaman baharu melalui platform Tras yang diuruskan oleh EON Capital Sdn. Bhd.,” ujarnya.
Beliau menambah, pada tahun 2025 sahaja, hampir 1,000 unit kenderaan telah berjaya diuruskan menerusi bahagian kenderaan terpakai EON. Ia memberikan situasi menang-menang untuk pelanggan dan syarikat.
Selain itu, EON turut memperluas rangkaian servis dengan membuka empat pusat perintis untuk kenderaan tamat waranti di Kampung Melayu Subang, Wangsa Maju, Glenmarie dan terbaharu di Setapak melalui kerjasama strategik dengan Petromin, pemain utama automotif dan servis kenderaan dari Arab Saudi.
“EON juga bakal mempunyai pusat ‘body & paint’ sulungnya di tapak seluas 0.8 hektar di Shah Alam pada tahun ini. Kita sentiasa menilai potensi pelaburan dalam pasaran baharu bagi memperluaskan capaian perkhidmatan,” katanya.
Sejajar dengan itu, penambahbaikan dalam pembangunan modal insan turut dititikberatkan oleh EON.
Akkbar menegaskan bahawa pembangunan kompetensi melalui latihan berterusan dan pendekatan konsep kaizen (penambahbaikan berterusan) diterapkan kepada setiap pekerja.
Langkah ini untuk memastikan setiap pekerja bukan sahaja meningkatkan kemahiran, tetapi turut memastikan mereka dapat memberikan pengalaman pelanggan yang konsisten dan berkualiti.
“Setiap kakitangan EON dilatih bukan sahaja untuk menjual kenderaan, tetapi juga untuk memahami perjalanan pelanggan dan menawarkan solusi menyeluruh. Ini adalah keutamaan kami.
“Sebagai sebahagian daripada strategi pembangunan bakat, EON telah mengambil 15 pelajar tahun akhir universiti untuk mengikuti latihan praktikal selama setahun, dengan 11 daripadanya sudah diserap sebagai pekerja tetap,” jelas Akkbar.
Beliau menambah, melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan juga, EON turut menganjurkan pertandingan robotik di peringkat sekolah vokasional bagi mencungkil bakat teknologi masa depan.
Dalam aspek inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Akkbar menjelaskan bahawa EON memberi tumpuan kepada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi impak kepada komuniti termasuk menyumbang enjin kepada sekolah vokasional serta penggunaan panel solar di bilik pameran EON sebagai komitmen terhadap amalan hijau.
Dalam pada itu, EON akan terus meningkatkan promosi terhadap penjualan kenderaan elektrik (EV) susulan perkembangan positif pelanggan dengan kemunculan model-model yang lebih mampu milik pada tahun 2026.
“Dulu EV masuk dengan harga premium, tetapi e.MAS 5 dan e.MAS 7 membuka pasaran baharu buat golongan pertengahan. Ia menyediakan alternatif kepada keluarga yang memiliki dua kereta, malah daya tarikan e.MAS dijangka terus melonjakkan jualan tahun depan,” katanya. -KOSMO! ONLINE
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/14/eon-sasar-dominasi-pasaran-runcit-utamakan-kepuasan-pelanggan/

Leave a Reply