Terbuka India: Juara dunia rebah di pusingan pertama

KUALA LUMPUR – Beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei terpaksa meninggalkan Kejohanan Badminton Terbuka India lebih awal apabila tersingkir di pusingan pertama selepas tewas kepada Cheng Xing-Zhang Chi dari China.

Pada perlawanan yang berlangsung di Indira Gandhi Arena, New Delhi sebentar tadi, gandingan juara dunia itu terpaksa akur pulang awal apabila tewas straight set 16-21, 19-21 dalam tempoh 40 minit.

Turun sebagai pilihan keempat kejohanan, Tang Jie-Ee Wei pada awalnya menampilkan aksi cukup baik di set pertama apabila mendahului 6-3, namun kembali dikejar pasangan lawan yang kemudiannya memenangi aksi tersebut.

Bersambung set kedua, Tang Jie-Ee Wei tersentak seketika apabila beregu China itu mendahului 8-2 sebelum mereka kembali memperkemaskan permainan dan memintas kedudukan lawan untuk berada di depan 11-10.

Kemudiannya, perlawanan bertambah rancak apabila kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan bertukar servis, namun tuah nyata memihak Cheng Xing-Zhang Chi untuk menang dan mara ke pusingan kedua.

Menerusi kekalahan itu, Tang Jie-Ee Wei gagal untuk memperbaiki pencapaian di Terbuka Malaysia minggu lalu apabila mereka tersingkir pada pusingan suku akhir selepas tewas kepada beregu Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet.

Keputusan itu pastinya bukan permulaan baik buat gandingan No.3 dunia berkenaan memandangkan mereka memulakan kempen 2026 dengan status sebagai juara dunia selain memiliki rekod cukup baik musim lalu.

Selepas ini, anak-anak buah Nova Widianto itu memiliki masa beberapa hari untuk melakukan persiapan terbaik menjelang kejohanan Indonesia Masters yang akan berlangsung di Jakarta bermula 20 hingga 25 Januari nanti. – KOSMO! ONLINE

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/14/terbuka-india-juara-dunia-rebah-di-pusingan-pertama/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *