UMNO akui cabaran peruntukan jentera penerangan, Zahid tekankan strategi ofensif

KUALA LUMPUR 14 Jan – UMNO mengakui berdepan cabaran besar apabila isu kekurangan peruntukan untuk kegunaan jentera penerangan parti menjadi antara perkara utama yang sering dibangkitkan oleh akar umbi ketika ini.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, situasi itu berbeza berbanding era kepimpinan terdahulu ketika parti dipimpin Datuk Seri Najib Razak yang disifatkan mempunyai peruntukan mencukupi.

“Ya benar, kalau kerana tak ada peruntukan. Apa peruntukan kalau pakai WhatsApp. Selalu kita fikir soal peruntukan.

“Zaman ‘Bossku’ sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, siapa dalam kalangan kita yang tidak mendapat bantuan? Jentera di peringkat pusat dan bahagian semuanya menerima peruntukan, malah ada yang mencecah puluhan juta ringgit.

“Jentera ketika itu mewah, tetapi kita tetap kalah. Jadi, walaupun segala-galanya memerlukan duit, duit bukan segala-galanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Simposium Politik Era Digital 2026 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan beliau tidak lagi mahu pendekatan defensif digunakan oleh parti, sebaliknya menekankan keperluan strategi ofensif sebagai langkah lebih berkesan dalam mempertahankan UMNO.

“Masalah kita sudah lama tidak menyerang. Apabila menyerang pula, kita tidak mempertahankan diri. Sebab itu kita ‘ke laut’,” katanya.

Menurut beliau, walaupun tidak terlibat secara langsung dalam semua aktiviti media sosial, terdapat pasukan khas yang membantu menguruskan aspek berkenaan bagi memastikan mesej parti terus disampaikan dengan berkesan.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13575

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *