Wanita dakwa dicabul, dipukul ‘pegawai polis’ ketika tunggu suami dalam kereta di Gombak

KUALA LUMPUR 14 Jan – Seorang wanita mendakwa menjadi mangsa cabul dan dipukul oleh seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai polis ketika berada bersendirian di dalam kereta berhampiran sebuah pasar raya di Medan Idaman, Gombak, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.15 pagi itu, mangsa berusia 22 tahun dikatakan sedang menunggu suaminya yang mempunyai urusan di kawasan berkenaan sebelum tertidur di dalam kenderaan yang tidak berkunci.

Mangsa berkata, seorang lelaki menunggang motosikal berhenti di sebelah keretanya sebelum membuka pintu dan terus masuk serta duduk di tempat duduk pemandu.

“Saya terkejut dan bertanya siapa dia. Lelaki itu mengaku sebagai ‘pegawai polis’.

“Saya cuba menjerit meminta tolong, tetapi dia menutup mulut saya sebelum mencabul,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mangsa mendakwa sempat menjerit dalam keadaan panik, menyebabkan suspek bertindak menumbuk mata kiri sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami bengkak pada mata kiri dan tampil membuat laporan polis. Bagaimanapun, katanya, kawasan kejadian tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan kenderaannya juga tidak mempunyai kamera papan pemuka (dashcam).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada jam 12.42 tengah hari semalam.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa sedang tidur di dalam kereta yang diletakkan di hadapan sebuah pasar raya di Medan Idaman.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis kini sedang mengesan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13583

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *