Awas, rakyat tipu maklumat STR boleh dikenakan tindakan undang-undang – MoF

KUALA LUMPUR 14 Jan – Pemohon Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh berdepan tindakan undang-undang sekiranya didapati mengemukakan maklumat palsu atau tidak tepat dalam permohonan mereka.

Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan, kelayakan penerima STR ditentukan berdasarkan had pendapatan yang ditetapkan, selaras dengan amalan terbaik pelaksanaan program bantuan sosial kerajaan.

Menurut kementerian itu, setiap permohonan akan melalui proses semakan dan pengesahan bersama pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima bantuan.

“Bagi pemohon baharu, selain menilai had pendapatan, semakan berkala turut dijalankan setiap suku tahun melibatkan pemilikan kediaman, kenderaan, perniagaan serta rekod bekerja atau menetap di luar negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MoF menegaskan, semua pemohon bertanggungjawab memberikan maklumat yang benar dan tepat, selain mengingatkan bahawa kerajaan berhak menarik balik bantuan yang telah diluluskan sekiranya berlaku ketidakpatuhan.

Dalam kenyataan sama, kementerian itu turut mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan berkaitan STR.

“Sebagai langkah keselamatan, MoF tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau aplikasi WhatsApp. Orang ramai dinasihatkan merujuk hanya kepada portal rasmi STR bagi mendapatkan maklumat terkini,” jelasnya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13587

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *