Seorang wanita tampil berkongsi kisah menyayat hati apabila mendakwa mengalami komplikasi serius selepas prosedur pemasangan alat pencegah kehamilan dalam rahim (IUCD) yang dilakukan di sebuah klinik kesihatan di Johor, Disember lalu.
Menurut wanita berkenaan, dia hadir ke sebuah klinik pada 19 Disember 2025 bagi menjalani pemasangan IUCD seperti yang telah dijadualkan oleh seorang doktor bertugas. Imbasan awal mendapati keadaan rahimnya berada dalam keadaan baik sebelum prosedur dijalankan.
Namun, ketika proses pemasangan dilakukan, mangsa mendakwa mengalami kesakitan luar biasa sehingga tidak mampu bangun, meskipun dimaklumkan oleh doktor bahawa keadaan tersebut adalah normal. Pemeriksaan lanjut kemudiannya mendapati terdapat kejanggalan sebelum imbasan X-ray mengesahkan IUCD berkenaan telah tersalah pasang dan menembusi dinding rahim.
Mangsa memaklumkan bahawa pihak klinik hanya menjelaskan alat tersebut tidak dapat dikeluarkan di peringkat klinik dan dia perlu dirujuk kepada hospital pakar.
“Memang betul doktor tu salah pasang! Ya Allah, hancur hati aku bila tengok iucd tu tertembus dinding rahim. Lepas tu bila pergi KK balik senang-senang dia cakap kena refer pakar sebab tak boleh nak keluarkan kat KK balik,” katanya.
Mangsa kemudian dirujuk ke hospital pakar, di mana pakar memutuskan satu pembedahan perlu dilakukan bagi mengeluarkan IUCD yang salah dipasang itu. Ketika itu, wanita berkenaan baru sahaja selesai tempoh berpantang dan mempunyai bayi berusia dua bulan.
Pada 1 Januari 2026, mangsa dimasukkan ke wad sebelum menjalani pembedahan keesokan harinya. Pembedahan yang dijangka mengambil masa singkat bertukar menjadi detik yang sukar apabila selepas sedar, mangsa dimaklumkan bahawa rahimnya mengalami kebocoran, appendiks pecah, serta usus kecil dan usus besar mengalami kecederaan dan telah dijahit oleh pihak hospital.
Lebih meruntun perasaan, mangsa turut dimaklumkan bahawa dia tidak lagi boleh melahirkan anak secara normal sepanjang hayatnya akibat komplikasi tersebut.
“Disebabkan kesilapan prosedur orang lain, saya yang menanggung kesannya seumur hidup,” luahnya.
Mangsa turut meluahkan kekecewaan apabila mendakwa doktor terlibat tidak pernah menghubunginya untuk bertanya khabar atau memohon maaf selepas kejadian itu.
Wanita berkenaan turut memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut hak serta keadilan atas penderitaan fizikal dan emosi yang dialaminya.
🔗 Source: https://thereporter.my/wanita-dakwa-doktor-salah-pasang-iucd-hingga-rahim-bocor/

Leave a Reply