‘Satu malam kadang-kadang dapat RM80, itulah duit lauk kami’

NILAI – Kehilangan kaki kiri, bergantung kepada dialisis tiga kali seminggu serta berdepan pelbagai penyakit kronik bukan alasan untuk Muhammad Affiq Ishak, 31 berhenti berusaha me­nyara keluarganya.

Bagi Muhammad Afiq, walaupun fizikalnya tidak sekuat se­perti dulu, selagi boleh bergerak dia akan berusaha sebaiknya demi keluarga tercinta.

“Badan saya tak kuat macam orang lain, tapi selagi boleh bergerak, saya akan cuba berniaga ikut kemampuan diri dan mencari peluang bagi jana pendapatan keluarga,” katanya ketika ditemui di Flat Cempaka Puri di sini.

Muhammad Affiq kini menghidap diabetes tahap satu, darah tinggi kronik serta kegagalan buah pinggang tahap akhir.

Akibat komplikasi penyakit, kaki kirinya terpaksa dipotong atas paras lutut, sekali gus menamatkan kerjaya sebagai pengawal keselamatan swasta pada Mei 2018.

Sejak tahun lalu, Muhammad Affiq mengusahakan jualan pakaian bundle secara kecil-kecilan di uptown serta dalam talian.

Namun, kekangan kesihatan menyebabkan dia hanya mampu berniaga beberapa malam saja.

“Satu malam kadang-kadang dapat RM80 saja. Kalau tiga malam, itu lah duit lauk kami untuk seminggu. Tak ada lebihan untuk simpan,” katanya.

Keadaan kewangan keluarga semakin mencabar apabila tiga daripada empat anaknya berusia enam, lima dan empat tahun masih memerlukan susu, manakala anak sulungnya yang berusia 11 tahun sudah bersekolah.

Isterinya, Siti Suliana Samzol, 30, seorang suri rumah, turut membantu keluarga dengan menjual makanan sejuk beku dari rumah mengikut kemam­puan.

“Bila anak-anak cakap nak susu, nak kasut bola, saya dengar saja. Itu yang buat saya kena kuat. Kalau saya jatuh, siapa nak jaga mereka,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan ke akaun Agro Bank 2005731000179812 atas nama Muhammad Affiq Ishak.

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/15/satu-malam-kadang-kadang-dapat-rm80-itulah-duit-lauk-kami/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *