‘I love u, abang pergi dulu’

PONTIAN – Ucapan sayang dan peluk cium untuk isteri dan anak-anak berulang kali menjadi titipan terakhir Allahyarham Izzat Izzuddin Onn, 39, sebelum bertolak ke Thailand pada malam Jumaat lalu.

Menurut isterinya, Siti Fatimah Md Desah, 39, arwah memulakan perjalanan ke negara jiran dengan menunggang motosikal Suzuki V Storm 250cc secara solo seperti sebelum ini.

Katanya, sepanjang perjalanan ke Thailand, arwah kerap mengemas kini lokasi, malah sebelum nahas, lelaki itu turut berkongsi mengenai makanan dan minuman yang diambil sewaktu bersarapan.

“Kali pertama arwah melakukan perjalanan solo untuk menjelajah ke Thailand pada Julai tahun lalu ke Hatyai dan Krabi, namun kali ini arwah ke kawasan lebih jauh hingga ke Bangkok.

“Sebelum ini pun arwah selalu mengucapkan kata-kata I love you untuk saya dan anak-anak, namun kali ini dia ulang banyak kali sebelum bergerak ke Thailand,” katanya ketika ditemui selepas pengebumian suaminya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Semerah, di sini, tengah hari tadi.

Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Semerah apabila jenazah Izzat Izzuddin tiba pada pukul 11.40 pagi. Dua anak arwah iaitu Muhammad Danie, 6, dan Muhammad Danial, 4, serta bapa lelaki itu, Onn Abdullah, 75 turut hadir.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang lelaki Malaysia terkorban selepas motosikal yang ditunggang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah trak pikap di daerah Chaiya, Thailand pagi kelmarin. – KOSMO! ONLINE

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/15/i-love-u-abang-pergi-dulu/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *