Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh diyakini mampu memimpin sayap parti itu dengan lebih berkesan pada masa depan. Keyakinan itu dikongsi Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Zahid, yang menekankan keupayaan beliau menghadapi pelbagai cabaran.
“Dia sedang diuji kerana itu akan menjadikannya lebih kuat, dan saya yakin beliau akan membawa Pemuda UMNO ke arah yang lebih baik,” ujarnya.
Beliau juga berkongsi pandangannya mengenai peranan kritikal Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh menerusi hantaran di Facebook.
Menurut beliau, Ketua Pemuda UMNO bukan sekadar suara mewakili anak muda, tetapi berperanan sebagai semak dan imbang serta “kapten perang” yang menjaga prinsip parti.
“Garisan merah UMNO yang melibatkan kepentingan agama, bangsa, institusi Raja-Raja Melayu, Perlembagaan Persekutuan dan keadilan sosial bukan untuk ditawar-menawar demi populariti atau tekanan politik jangka pendek,” tegas Nurulhidayah.
Beliau menambah, dalam konteks Kerajaan Perpaduan, Ketua Pemuda perlu lebih kritikal dan bertindak sebagai suara peringatan agar setiap keputusan dan dasar parti tidak menyimpang daripada asas perjuangan UMNO. Teguran daripada Pemuda, menurutnya, menandakan parti masih hidup, berfikir, dan berani menegakkan prinsip.
Selain itu katanya, Ketua Pemuda juga bertanggungjawab menyusun strategi, menggerakkan jentera muda, dan menaikkan semangat juang ahli di lapangan.
Beliau juga menekankan bahawa keberanian perlu disertai kebijaksanaan agar tindakan Pemuda menguatkan parti, bukan melemahkannya dari dalam.
“Ketegasan tanpa adab akan membawa perpecahan, manakala kebijaksanaan tanpa ketegasan pula akan melemahkan prinsip,” ujarnya.
Nurulhidayah menegaskan, UMNO memerlukan Ketua Pemuda yang berani, sanggup memikul risiko, dan setia kepada perjuangan parti secara keseluruhan.
“Dengan peranan semak dan imbang yang berdisiplin, Ketua Pemuda diyakini akan memastikan Pemuda UMNO terus menjadi benteng hadapan parti, menjaga maruah perjuangan, dan mempertahankan ketetapan parti.
Sumber: Sinar Harian, Facebook Nurulhidayah Ahmad Zahid Official
🔗 Source: https://thereporter.my/nurulhidayah-yakin-dr-akmal-saleh-mampu-pimpin-pemuda-umno-lebih-kuat/

Leave a Reply