Zii Jia idam kembali ke puncak

PERSEORANGAN lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menggalas misi tersendiri pada saingan musim ini apabila meletakkan sasaran untuk kembali berada dalam kelompok 20 teratas ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Ketika ini, bekas juara Asia dan All England itu berada di tangga ke-119 dunia selepas dia terpaksa berehat panjang musim lalu bagi memberikan sepenuh tumpuan terhadap proses pemulihan kecederaan.

Bagi kempen 2026, Zii Jia sudah pun menyertai dua kejohanan, Terbuka Malaysia dan Terbuka India, namun kedua-duanya menyaksikan dia menamatkan saingan seawal pusingan pertama.

Bagaimanapun, pemain berusia 28 tahun itu menyifatkan prestasinya di Terbuka India sudah menunjukkan peningkatan jika dibandingkan pada Terbuka Malaysia minggu lalu.

“Kecederaan memang menjadi cabaran cukup besar kepada setiap atlet dan itulah yang saya lalui. Memang ada progres positif berbanding apa yang dilakukan ketika Terbuka Malaysia minggu lalu, rasa banyak peningkatan.

“Untuk tahun ini, sudah tentu saya cuba untuk mendapatkan semula momentum terbaik. Selain itu, saya juga mahu memperbaiki kedudukan ranking dengan kembali berada dalam kelompok 20 teratas,” katanya kepada BWF.

Kelmarin, Zii Jia sekali lagi terkandas di pusingan pertama Terbuka India apabila dipaksa bekerja keras sebelum tewas 13-21, 21-18, 18-21 kepada pemain Denmark, Rasmus Gemke dalam tempoh 62 minit.

Diia kini memiliki masa lebih kurang seminggu bagi melakukan persiapan terbaik menjelang Indonesia Masters di Jakarta bermula 20 hingga 25 Januari ini.

“Kecederaan itu sudah semakin baik tetapi saya perlu mencari keyakinan dari segi fizikal. Bagi mendapatkan semua momentum itu, saya hanya bergantung kepada diri sendiri dan pasukan,” ujar Zii Jia.

🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/15/zii-jia-idam-kembali-ke-puncak-dunia/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *