KUALA LUMPUR 16 Jan – UMNO mengambil langkah proaktif memperkukuh perpaduan politik Melayu dengan menubuhkan Jawatankuasa Penyatuan Ummah Bangsa bagi membuka ruang kepada mana-mana bekas ahli untuk kembali menyertai parti itu.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyertaan semula berkenaan boleh dibuat sama ada secara individu atau secara berkumpulan (en bloc).
“Pintu rumah bangsa ini sentiasa terbuka luas. Di sini kita dilahirkan, justeru bagi menyambut kembali kepulangan saudara, adik-beradik, ahli keluarga kita, sebuah jawatankuasa penyatuan ummah bangsa akan ditubuhkan.
“PAS asal dari kita, PKR dari kita, juga BERSATU dari kita. Saya mahu dengar dari sidang perwakilan, apakah kita semua bersedia menerima saudara kita kembali ke rumah bangsa ini,” katanya yang disambut sorakan dan tepukan lebih 6,000 perwakilan UMNO.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, usaha membentuk gagasan payung besar orang Melayu pernah dilakukan tanpa UMNO, namun sejarah membuktikan ia gagal mendapat sokongan.
“Payung itu rebah kerana tidak berpaut kepada rumah asalnya. Kenapa perlu kepada payung, andai rumah sudah tersergam indah. Sejarah rumah bangsa ini tidak akan pernah terpadam.
“Dari rumah inilah lahirnya pelbagai parti dan gerakan politik Melayu – PAS, Semangat 46, PKR, BERSATU, PEJUANG, Warisan, GRS, bahkan GPS sudah turut berkongsi satu roh kenegaraan.
“Ada yang lahir daripada konflik dan kekecewaan, ada yang muncul akibat perbezaan hala tuju dan wadah yang tidak selaras. Ini bukan sejarah untuk dibanggakan secara angkuh, tetapi perlu diinsafi dengan rendah hati. Politik Melayu-Islam tidak boleh terus berselerak,” katanya.
Menurut beliau, UMNO adalah rumah asal politik Melayu yang menjadi asas kepada kemerdekaan negara, pembentukan Perlembagaan Persekutuan, pemartabatan Islam sebagai agama Persekutuan serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.
“Rumah ini bukan sekadar dinding dan bumbung, ia menjadi paksi kepada sebuah negara bangsa, rimbunan yang memayungi segenap latar agama, bangsa dan budaya.
“Rumah ini perlu dibersihkan daripada debu keangkuhan agar kembali menjadi teduhan selesa buat seluruh anak bangsa tanpa mengira pangkat dan darjat. UMNO bukan parti elit, tetapi lahir dari keringat rakyat.
“UMNO adalah rumah buat semua bertaut kembali, saat ada yang hilang arah, saat ada yang semakin rebah, kembalilah, kembalilah. Bak kata pepatah ‘sesat di hujung jalan, kembali ke pangkal jalan’,” katanya.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13615

Leave a Reply