KUALA LUMPUR 16 Jan – Dua penuntut sebuah universiti swasta masih menerima rawatan di hospital susulan insiden letupan gas pendingin hawa di bangunan universiti berkenaan di Bukit Damansara, di sini, baru-baru ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, seorang mangsa berusia 19 tahun kini dirawat di Wad Rawatan Rapi Berperingkat (HDW), Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurutnya, setakat Jumaat, mangsa masih belum sedarkan diri dan berada di bawah pemantauan rapi pasukan perubatan.
“Mangsa berada dalam keadaan koma, tidak sedarkan diri, mengalami pendarahan dalam otak serta retak pada tengkorak,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, seorang lagi penuntut berusia 18 tahun mengalami kecederaan patah pinggang dan telah dibenarkan keluar dari HKL pada 13 Januari sebelum mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Pantai Kuala Lumpur pada hari sama.
Katanya, mangsa telah selesai menjalani pembedahan gigi pada 15 Januari dan berada dalam keadaan stabil, selain dijadualkan menjalani pembedahan pinggang pada jam 2 petang, Sabtu.
Dalam perkembangan sama, seorang penyelia berusia 54 tahun yang mengalami kecederaan melecur serta serpihan besi di dalam badan telah selesai menjalani pembedahan di HKL.
“Mangsa kini sedar, berada dalam keadaan stabil dan masih dipantau rapi oleh doktor untuk rawatan susulan,” katanya.
Sementara itu, seorang pekerja kantin warga Indonesia berusia 22 tahun yang turut cedera dilaporkan berada dalam keadaan baik dan telah dibenarkan keluar dari Hospital Sungai Buloh pada Khamis.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi, Isnin lalu, seorang lelaki berusia 24 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HKL, manakala sembilan individu lain mengalami kecederaan.
Mangsa yang maut merupakan penuntut universiti swasta berkenaan dan sedang menjalani Latihan Industri (LI).
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13619

Leave a Reply