MADRID – Jurgen Klopp dilaporkan berminat dengan peluang untuk menjadi pengendali baharu Real Madrid sekali gus kembali ke dunia kejurulatihan selepas kali terakhir menyandang tugas pengurus Liverpool pada Mei 2024.
Sebagai rekod, Klopp menyandang tugas selaku Pengarah Bola Sepak Global Red Bull sejak tahun lalu selepas sembilan tahun membimbing skuad The Reds mencapai kejayaan di peringkat domestik dan antarabangsa.
Namun, pengendali kelahiran Jerman itu terbuka untuk kembali ke lapangan jika mendapat salah satu tawaran daripada dua jawatan yang menjadi idamannya selama ini.
Menurut laporan, salah satu tugas impian Klopp adalah membimbing kelab The Galacticos di Santiago Bernabeu dan satu lagi menjadi pengendali skuad kebangsaan Jerman.
Pemerhati bola sepak Eropah, Guillem Balague mengakui potensi untuk Real menawarkan jawatan rasmi kepada Klopp sangat besar walaupun sudah mengesahkan kehadiran Alvaro Arbeloa sebagai pengganti kepada Xabi Alonso yang dipecat baru-baru ini.
“Real sangat berminat untuk menandatangani Klopp. Florentino Perez (Presiden Real) telah berjumpa beberapa ejen untuk meneliti sama ada mereka berminat atau sebaliknya.
“Selain Klopp, Enzo Maresca dan seorang lagi calon yang masih belum dikenal pasti turut berada dalam radar Real. Namun, Klopp jadi pilihan utama Real ketika ini,” katanya.
Sementara itu, Klopp yang berusia 59 tahun juga menanti tawaran untuk membimbing skuad Die Mannschaft tetapi masa depan pengendali semasa, Julian Nagelsmann bergantung kepada keputusan pada kempen Piala Dunia 2026, Jun depan. – AGENSI
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/18/klopp-mula-tergoda-tawaran/

Leave a Reply