RABAT – Pengendali Maghribi, Walid Regragui menyeru barisan supaya pemain tidak melepaskan peluang untuk melengkapkan detik bersejarah dengan menjuarai Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) menjelang aksi final menentang Senegal, awal pagi esok.
Menurut Regragui, peluang untuk bergelar juara di tanah air sendiri tidak datang selalu walaupun pasukan terpalit dengan tekanan hebat selepas 50 tahun tidak bergelar ‘raja’ bola sepak Afrika selepas kali terakhir menang pada edisi 1976.
Regragui percaya sekarang adalah masa terbaik untuk buktikan pasukan semakin matang sekali gus bersedia untuk mencipta nama di pentas antarabangsa.
“Pasukan ini masih belum sempurna dan masih ada beberapa ruang dan peluang untuk diperbaiki. Namun, pujian wajar diberikan kepada pemain kerana mereka telah berikan komitmen penuh sepanjang kejohanan ini.
“Cuma, kita perlu ubah DNA pasukan dan beraksi dengan lebih konsisten. Aksi final nanti dijangka sengit kerana kita menentang Senegal yang dianggap salah satu negara terbaik benua ini sejak tiga tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Regragui mengakui pasukannya layak untuk beraksi di pentas final kali ini tetapi hanya trofi mampu menutup kritikan ‘pedas’ yang dilemparkan peminat selepas gagal pada beberapa edisi AFCON yang lepas.
“Sedikit masa lagi, orang akan terima Maghribi sebenarnya negara bola sepak besar. Namun, untuk mendapat pengiktirafan itu, pasukan ini perlu bergelar juara. Final AFCON kali ini sangat penting untuk ukir sejarah baharu,” katanya. – AGENSI
Maghribi pastinya mengharapkan kepimpinan ketua pasukan mereka, Achraf Hakimi untuk mengetuai pasukan itu beraksi dengan tenang dan baik bagi memastikan kejuaraan menjadi milik mereka. – AGENSI
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/18/afcon-maghribi-idam-manfaat-peluang/

Leave a Reply