Dua individu dilaporkan rentung selepas kereta yang mereka naiki terbakar di Plaza Tol Jitra, Lebuhraya Utara Selatan arah utara, awal pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada jam 1.05 pagi.
Beliau berkata, sepasukan tujuh anggota BBP Jitra segera bergegas ke lokasi dan dibantu lima anggota dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Seberang Nyonya.
“Setibanya di tempat kejadian, api sedang marak membakar sebuah kereta jenis Honda Civic FD,” ujarnya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati hampir 85 peratus kereta itu musnah dan dua mangsa ditemukan rentung di dalamnya.
“Identiti dan jantina mangsa masih belum dapat dikenal pasti,” katanya.
Noor Azhar menambah, api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.23 pagi dan anggota bomba terpaksa melakukan pemotongan kenderaan bagi mengeluarkan mangsa.
Kesemua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
🔗 Source: https://thereporter.my/dua-individu-rentung-dalam-kebakaran-kereta-di-plaza-tol-jitra/

Leave a Reply