‘Kita mesti ‘move on”- Saifuddin minta orang ramai henti ugut keluarga bekas wartawan FMT

KUALA LUMPUR 19 Jan – Kerajaan mengingatkan orang ramai supaya menjaga batas dalam menyuarakan pandangan di media sosial, khususnya dengan tidak melakukan sebarang ugutan terhadap ahli keluarga bekas wartawan Free Malaysia Today (FMT), Rex Tan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tindakan sedemikian adalah tidak wajar dan melampaui batas, apatah lagi ketika proses undang-undang sedang berjalan.

“Kita beri ingatan pada orang ramai supaya tidak berlebih-lebihan apalagi menggunakan platform media sosial untuk menyampaikan ugutan dan sebagainya.

“Kita mesti ‘move on’ daripada peristiwa yang berlaku, itu harapan kita semua.

“Sebab melontarkan kata-kata ugutan tidak menguntungkan sesiapa, sebaliknya mengeruhkan lagi keadaan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan pembukaan Restoran Smith & Wollensky Kuala Lumpur, di sini.

Sebelum ini, media melaporkan Rex Tan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi tengah malam tadi susulan tiga laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Ia berkaitan penularan rakaman video yang memaparkan Tan mengemukakan soalan kepada ahli politik United Kingdom (UK), George Galloway, dalam wacana terbuka bertajuk Gaza: Expose The Complicity of International Actors.

Dalam perkembangan berkaitan keselamatan awam, Saifuddin Nasution menyatakan keyakinan bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memainkan peranan bagi memastikan keselamatan orang ramai terjamin.

“Kuala Lumpur khususnya menjadi antara satu kota tumpuan pelancong dalam dan luar negara, lebih-lebih lagi Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Justeru, di peringkat Kementerian Dalam Negeri tentunya perspektif keselamatan antara perkara yang dilihat.

“Apabila restoran berjenama antarabangsa ini memilih kota metropolitan Kuala Lumpur, ia sekali gus memberikan satu lagi pilihan kepada bukan saja rakyat Malaysia tapi juga pelancong luar,” katanya.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13646

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *