KUALA LUMPUR 19 Jan – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah bahawa kes rasuah yang dikesan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) diyakini hanyalah sebahagian kecil daripada masalah sebenar yang lebih besar dan meluas.
Baginda menzahirkan keyakinan bahawa masih ramai perasuah lain di luar sana, termasuk dalam jabatan dan agensi penguat kuasa lain seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDM), Jabatan Imigresen Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang perlu diburu sehingga berjaya ditumpaskan.
Baginda turut menegaskan keperluan kerajaan menyediakan hakim berpengalaman serta laluan khas di mahkamah bagi memastikan perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan.
“Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah, dalam Angkatan Tentera Malaysia, sampai peringkat tertinggi. Agaknya selepas ini saya terpaksa lantik sarjan sebagai PAT (Panglima Angkatan Tentera).
“Ini hanyalah sekelumit daripada segunung atau tip of iceberg. Saya yakin ada ramai lagi di luar sana sama ada di Jabatan Kasta, Imigresen, polis dan sebagainya serta termasuk juga yang berada dalam dewan ini akan diburu sampai jumpa.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menjalankan siasatan dengan cepat, tegas dan sempurna tanpa mengira pangkat atau kedudukan,” titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada istiadat berkenaan, Seri Paduka Baginda turut berkenan memeriksa barisan pasukan Kawalan Kehormat Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Sungai Besi.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13647

Leave a Reply