Sampai hati ibu, bayi lelaki cukup sifat dibuang dalam kotak di ladang kelapa sawit

KINABATANGAN 19 Jan – Penemuan mengejutkan berlaku apabila seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit di daerah ini, semalam.

Bayi seberat 2.4 kilogram (kg) dan dianggarkan berusia antara tiga hingga lima hari itu dijumpai oleh seorang pekerja ladang ketika sedang menjalankan tugas sebelum perkara berkenaan dimaklumkan kepada pihak pengurusan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan D Ravi, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.27 malam.

Beliau berkata, bayi cukup sifat itu kemudiannya dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bayi tersebut berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan serta kini berada di bawah pemantauan pihak hospital dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Hasil siasatan awal mendapati lokasi penemuan tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan setakat ini tiada saksi tampil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ravi, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi polis di talian 089-561890 bagi membantu siasatan.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13652

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *