LONDON – Bumi dijangka dilanda ribut suria yang boleh menyebabkan beberapa satelit radio terhenti, lapor akhbar Metro UK semalam.
Letupan zarah suria sedang bergerak ke arah Matahari pada kelajuan berjuta-juta kilometer sejam dan akan tiba sama ada malam ini atau esok pagi (waktu tempatan).
Ini bermakna penduduk Britain berpeluang melihat fenomena dikenali sebagai ‘Northern Lights’ yang berlaku apabila plasma berinteraksi dengan medan magnet Bumi.
Pejabat Meteorologi Britain memberi amaran bahawa letusan zarah bercas boleh menyebabkan ribut suria yang teruk.
Ahli-ahli meteorologi angkasa lepas mengeluarkan amaran cuaca angkasa berwarna kuning, dari pukul 12.01 tengah malam (waktu tempatan) ini hingga 11.59 malam (waktu tempatan) esok untuk ribut geomagnetik G3.
Amaran itu menyatakan, walaupun gangguan bekalan elektrik boleh berlaku semasa ribut sedemikian, ahli-ahli meteorologi menganggap risiko tersebut kecil.
Selain itu, frekuensi radio dan navigasi satelit GPS mungkin terjejas selama berjam-jam.
Terdapat risiko ribut itu boleh menjadi lebih teruk daripada yang dijangkakan, menjadikannya ribut geomagnetik G4.
Perkhidmatan cuaca angkasa lepas Amerika, NOAA juga mengeluarkan amaran untuk ribut G4 semalam.
Ia memberi amaran tentang ‘kemungkinan masalah kawalan voltan yang meluas dan beberapa sistem perlindungan mungkin tersilap mengeluarkan aset utama dari grid kuasa’. – AGENSI
🔗 Source: https://www.kosmo.com.my/2026/01/20/ribut-matahari-dahsyat-menuju-ke-bumi/

Leave a Reply