JAIS beri tempoh hingga 31 Mac, kosongkan tapak pencerobohan perkuburan Islam

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menetapkan tempoh sehingga 31 Mac 2026 bagi pengosongan tapak pencerobohan di Tanah Perkuburan Islam PJS 4, Petaling Jaya.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, penjelasan itu dibuat susulan hantaran tular di media sosial yang mendakwa tanah berkenaan merupakan tanah wakaf Islam di bawah pengurusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang telah diceroboh oleh pembinaan rumah ibadat haram.

Menurutnya, tanah Perkuburan Islam di PJS 4 bukanlah tanah wakaf MAIS, sebaliknya merupakan tanah yang diwartakan di bawah pentadbiran JAIS mengikut Seksyen 62 Kanun Tanah Negara 1965.

Beliau berkata, tindakan terhadap pencerobohan di tapak berkenaan telah pun diambil melalui gerak kerja pemutihan pencerobohan tanah yang dilaksanakan secara bersama antara JAIS, pihak pentadbir tanah daerah serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Dalam pada itu, Datuk Mohd Shahzihan memaklumkan Kerajaan Negeri Selangor telah memberikan tempoh sehingga 31 Mac 2026 bagi membolehkan pengosongan tapak pencerobohan dilakukan.

“Kegagalan mematuhi arahan tersebut akan menyebabkan tindakan penguatkuasaan pengosongan dilaksanakan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling bersama JAIS dan agensi penguat kuasa lain,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa JAIS, MAIS dan Kerajaan Negeri Selangor akan terus mengambil segala langkah perlu bagi memastikan sebarang pencerobohan ke atas tanah warta JAIS atau tanah wakaf MAIS ditangani dengan segera, selain mempertingkatkan usaha pencegahan dari semasa ke semasa.

“Orang awam yang mengesan sebarang pencerobohan tanah warta JAIS atau tanah wakaf MAIS disaran menyalurkan maklumat kepada JAIS, MAIS, PDT atau PBT bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” jelasnya.

🔗 Source: https://thereporter.my/jais-beri-tempoh-hingga-31-mac-kosongkan-tapak-pencerobohan-perkuburan-islam/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *