‘Rujuk pihak berautoriti jika ada masalah perkahwinan’ – Marhamah Rosli

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli, menegaskan bahawa sebarang nasihat berkaitan perkahwinan dan perceraian bagi orang Islam perlu diperoleh daripada pihak berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri, kaunselor bertauliah, dan Mahkamah Syariah.

Beliau menekankan bahawa nasihat daripada pihak yang tidak berautoriti boleh mengelirukan masyarakat dan berpotensi merosakkan institusi keluarga.

“Nasihat yang tidak bersandarkan syariah, yang datang daripada pihak tidak berautoriti bukan sahaja mengelirukan, malah berpotensi merosakkan rumah tangga. Oleh itu, penggunaan pendekatan islah dan rundingan yang adil perlu diambil sebelum apa-apa tindakan diteruskan,” jelas beliau.

Marhamah mengulas perkara berkenaan ketika menjawab soalan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) di Dewan Rakyat berhubung tindakan kerajaan terhadap kewujudan perkhidmatan ‘coach cerai’ yang tular baru-baru ini berikutan perceraian pasangan selebriti.

“Penggunaan istilah dan pendekatan berkaitan kekeluargaan Islam yang mengelirukan seperti coach cerai ini perlu dikawal bagi memastikan kefahaman masyarakat tidak tersasar sehingga membawa kepada kegusaran awam,” katanya.

Menurut Marhamah, JAKIM dan JAIN menyediakan platform khidmat kaunseling dan runding cara keluarga berlandaskan pendekatan syariah. Perkhidmatan ini bertujuan membantu pasangan mengenal pasti punca konflik, memperbaiki komunikasi, dan mencari penyelesaian yang adil dan seimbang.

Beliau menambah, usaha ini merupakan sebahagian daripada ekosistem sokongan keluarga yang dijalankan secara berstruktur dan berterusan, dengan pegawai terlatih membimbing pasangan ke arah penyelesaian berdasarkan prinsip syarak dan psikologi.

Marhamah menekankan bahawa mendapatkan nasihat daripada pihak berautoriti bukan sahaja melindungi hak dan tanggungjawab suami isteri, tetapi juga memastikan keputusan diambil dengan hikmah, berpandukan syariah, dan memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.

“Kesedaran ini penting untuk membina masyarakat yang bijak dalam menilai nasihat, memelihara institusi keluarga dan mencegah kerosakan yang boleh dielakkan,” ujarnya lagi.

🔗 Source: https://thereporter.my/rujuk-pihak-berautoriti-jika-ada-masalah-perkahwinan-marhamah-rosli/

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *