Tharumalingam dilantik CEO Kumpulan AirAsia X

KUALA LUMPUR 20 Jan – AirAsia X Bhd (AAX) mengumumkan penstrukturan semula pengurusan tertinggi apabila jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang disandang Benyamin Ismail ditukar kepada Pengurus Besar, berkuat kuasa hari ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh itu memaklumkan Benyamin, 48, yang menyertai AirAsia pada Mac 2010, telah menerajui AAX sebagai CEO sejak 1 September 2015.

AAX berkata, di bawah kepimpinan Benyamin, syarikat berjaya melaksanakan penstrukturan semula hutang dan mengekalkan rekod keuntungan suku tahunan, selain memainkan peranan penting dalam pemulihan AAX daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

“Setakat ini, syarikat kekal mencatat keuntungan daripada operasi semasa.

“Dalam peranan baharu sebagai Pengurus Besar, Benyamin akan terus bertanggungjawab mengurus operasi harian AAX sebagai sebuah syarikat penerbangan,” menurut kenyataan itu.

Menurut AAX, Benyamin membawa pengalaman luas dalam industri, termasuk lapan tahun dalam perbankan pelaburan dengan fokus kepada pasaran modal hutang sebelum menyertai AirAsia.

Dalam makluman berasingan, AAX turut mengumumkan pelantikan Tharumalingam Kanagalingam sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharu, berkuat kuasa 19 Januari 2026.

Tharumalingam atau lebih dikenali sebagai Bo Lingam menyertai AirAsia pada 2001 dan memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju strategik serta rangka kerja operasi AirAsia Aviation Group.

Sepanjang perkhidmatannya, beliau pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan kanan termasuk pengurus kanan perolehan dan bekalan, pengarah perkhidmatan tetamu serantau, ketua operasi dan perancangan, ketua pegawai operasi kumpulan, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Timbalan CEO Kumpulan Penerbangan serta Presiden Kumpulan Penerbangan.

Sebagai CEO kumpulan, Tharumalingam akan memacu evolusi AirAsia dengan memberi tumpuan kepada kecemerlangan operasi, pengoptimuman proses serta peningkatan pengalaman pelanggan.

Beliau juga akan memperkukuh kehadiran AirAsia di Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina dan Kemboja, selain menyelia penubuhan syarikat penerbangan baharu dalam kumpulan itu. – Bernama

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13661

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *