KUALA LUMPUR 20 Jan – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan siasatan terhadap kandungan dalam talian terbitan China Press susulan dakwaan kesilapan terjemahan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketika Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen semalam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata siasatan itu dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi sehingga boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran awam atau menjejaskan keharmonian.
Beliau berkata, siasatan berkenaan dibuat susulan aduan rasmi yang diterima daripada orang awam.
“Sekiranya ada laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pihak, perkara tersebut adalah berasingan dan diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia untuk menjalankan siasatan berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fahmi turut menggesa Majlis Media Malaysia, sebagai sebuah badan bebas, memainkan peranan sebagaimana yang diperuntukkan bagi memastikan pematuhan etika kewartawanan dan menggalakkan pelaporan yang bertanggungjawab serta tepat.
Menurut beliau, majlis itu juga berperanan sebagai platform pengawalseliaan kendiri untuk menangani aduan serta isu berkaitan media secara profesional dan berintegriti.
“Pada masa sama, orang ramai dinasihatkan tidak mengeluarkan komen yang melampau atau bersifat fitnah, khususnya melalui media sosial serta sentiasa menghormati institusi raja dan memberi ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan, kesilapan terjemahan titah Seri Paduka Baginda itu dipercayai berkaitan isu Bahasa Melayu.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13668

Leave a Reply