KUALA LUMPUR 20 Jan – Malaysia mengambil pendirian berhati-hati sebelum menyatakan sokongan terhadap cadangan penubuhan Lembaga Keamanan yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bagi menamatkan konflik di Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan belum dapat mengesahkan kesahihan maklumat termasuk senarai penuh individu dan negara yang terlibat dalam lembaga berkenaan.
Menurut beliau, perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini, selain Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan telah diarahkan mendapatkan maklumat terperinci mengenai penyertaan dalam lembaga tersebut.
“Dari segi keanggotaan, terdapat bantahan yang kuat, antaranya melibatkan kedudukan bekas Perdana Menteri United Kingdom, Tony Blair yang mempunyai rekod penglibatan secara langsung dalam serangan di Iraq serta pendirian yang dilihat tidak telus dan tidak adil terhadap isu Palestin.
“Ada juga maklumat yang menyebut penyertaan Perdana Menteri Israel. Banyak pengumuman masih belum disahkan,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA–Muar) pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut memaklumkan sedang berhubung dengan beberapa pemimpin negara Arab, Turkiye dan rakan antarabangsa lain bagi mendapatkan pandangan mereka berhubung cadangan berkenaan.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan Malaysia pada dasarnya menyokong sebarang usaha ke arah perdamaian, namun pelan gencatan senjata serta penubuhan Lembaga Keamanan yang dicadangkan masih gagal menghentikan serangan Israel terhadap Gaza.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13669

Leave a Reply