Terdapat DNA pada barang kes, AGC minta PDRM selesaikan siasatan semula kes kematian Wan Ahmad Faris

KOTA BHARU 20 Jan – Jabatan Peguam Negara mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempercepatkan siasatan semula kes kematian Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, pelajar Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, yang meninggal dunia pada 2013.

Menurut laporan Berita Harian, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata siasatan lanjut masih dijalankan, terutamanya susulan penemuan DNA beberapa lelaki pada barang kes.

“Setakat ini, selepas kita menyerahkan semula kertas siasatan kepada PDRM untuk dilengkapkan bagi mengesan pemilik DNA berkenaan, polis belum menyerahkan hasil siasatan.

Kita tidak menetapkan tempoh tertentu, namun meminta PDRM menyelesaikan siasatan semula ini dengan kadar segera. Maklumat lanjut atau sebarang kemungkinan lain berkaitan siasatan Allahyarham saya belum boleh mengulas lanjut,” katanya.

Kes Wan Ahmad Faris, pelajar Tingkatan Empat, bermula apabila mayatnya ditemui tergantung di tandas asrama pada Disember 2013.

Penemuan itu dibuat oleh penyelia asrama selepas mengesan bau busuk dari tandas berkenaan. Bedah siasat awal pakar forensik mengesahkan kematian berkenaan sebagai mengejut tanpa unsur jenayah.

Namun, pada Jun 2016, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Wan Ahmad Faris berpunca daripada tindakan individu yang tidak dikenal pasti.

Pada Ogos tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan PDRM akan membuka semula kertas siasatan kes tersebut.

Sehingga kini, sebanyak 37 sampel darah Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi kes Allahyarham Wan Ahmad Faris telah diambil sebagai sebahagian daripada siasatan semula.

🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13672

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *