ALOR GAJAH 20 Jan – Perjalanan seorang pelajar universiti ke kampus bertukar tragedi apabila dia cedera selepas disondol seekor babi hutan ketika menunggang motosikal di Padang Keladi, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa berusia 19 tahun yang merupakan pelajar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Pagoh, Johor mengalami kecederaan serius di bahagian mulut, termasuk beberapa batang gigi patah serta gusi koyak.
Abang ipar mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahra Abba berkata, insiden berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari rumah keluarganya di Kampung Pulau, Durian Tunggal menuju ke kampus.
“Adik ipar saya disondol babi hutan di hadapan kawasan Go Kart Padang Keladi.
“Difahamkan kawasan itu memang sudah beberapa kali berlaku kemalangan kerana gelap dan tidak mempunyai lampu jalan,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang mengikuti pengajian dalam bidang mutawif kini menerima rawatan di Hospital Melaka dan masih berada dalam keadaan trauma akibat kejadian tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar ketika dihubungi memaklumkan pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian berkenaan.
🔗 Source: https://www.mediatelus.com/detail/13677

Leave a Reply