Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelaksanaan pendidikan prasekolah bermula usia lima tahun dan kemasukan ke Tahun Satu pada usia enam tahun mencetuskan pelbagai reaksi ibu bapa.
Walaupun perubahan itu tidak diwajibkan, sebahagian ibu bapa menyambut baik langkah berkenaan kerana selari dengan perkembangan kanak-kanak masa kini yang lebih terdedah kepada pembelajaran awal, khususnya bagi murid yang menunjukkan perkembangan pantas dan bersedia dari segi mental serta emosi. Namun dalam masa sama, terdapat ibu bapa yang menyuarakan kebimbangan dan mengakui masih belum bersedia menerima perubahan tersebut.
Pengumuman Perdana Menteri juga dipersetujui oleh seorang pendidik prasekolah yang memberikan pandangan berdasarkan melalui pengalaman mengajar. Ujarnya, terdapat murid yang bakal memasuki usia enam tahun sudah menunjukkan keupayaan pembelajaran yang sangat pantas atau fast learner. Malah, seawal usia lima tahun, ada dalam kalangan mereka yang mampu membaca dengan lancar, memahami arahan dengan baik serta berdikari dalam tugasan pembelajaran harian.
“Sekiranya murid-murid fast track ini masih perlu mengulang pengajaran literasi dan numerasi yang sama dalam tempoh yang panjang, mereka berisiko cepat berasa bosan dan kurang bermotivasi,” katanya.
Menurut beliau, situasi itu menuntut pendekatan yang lebih fleksibel dan berfokuskan keperluan individu murid, bukannya berasaskan umur semata-mata. Justeru, pemberian pilihan kepada murid yang benar-benar bersedia untuk memasuki Tahun 1 lebih awal dilihat sebagai satu alternatif yang wajar dipertimbangkan.
“Oleh itu, adalah wajar diberikan pilihan kepada murid yang benar-benar bersedia untuk memasuki Tahun 1 lebih awal, sebagai satu alternatif yang fleksibel dan berfokuskan keperluan murid,” jelasnya.
Dalam masa sama katanya, realiti pendidikan hari ini turut berubah seiring perkembangan sosial dan teknologi. Kebanyakan kanak-kanak kini sudah mula dihantar ke taska seawal usia empat tahun, sekali gus menerima pendedahan awal kepada pembelajaran berstruktur.
“Realitinya, kebanyakan kanak-kanak hari ini telah mula dihantar ke taska seawal usia 4 tahun. Pendedahan awal ini menyebabkan perkembangan kognitif dan kematangan pembelajaran berlaku lebih cepat berbanding generasi terdahulu. Justeru, kita tidak seharusnya menyekat kebolehan dan potensi murid semata-mata berdasarkan faktor umur.
“Zaman sekarang tidak lagi sama seperti 10 tahun yang lalu; setiap perubahan perlu dilihat sebagai peluang untuk memberi yang terbaik kepada anak-anak, bukan sebagai kekangan atas nama tradisi lama,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa kemasukan awal ke Tahun 1 tidak boleh dilaksanakan secara terbuka tanpa penilaian rapi. Antara aspek penting yang perlu diberi perhatian ialah kesediaan menyeluruh murid merangkumi aspek kognitif, fizikal, emosi dan psikologi, bagi memastikan mereka mampu menyesuaikan diri dalam persekitaran pembelajaran yang lebih mencabar.
Dalam hal ini ujarnya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut memainkan peranan penting melalui pelaksanaan penilaian diagnostik terhadap kanak-kanak berusia enam tahun.
Selain itu, kesediaan ibu bapa juga menjadi faktor penentu. Sokongan konsisten di rumah amat diperlukan bagi membantu anak mengikuti pembelajaran bersama kumpulan murid yang lebih berusia.
“Pendekatan ini bukan untuk memaksa, tetapi memberi ruang pilihan yang adil dan berfokus kepada potensi individu murid, selari dengan keperluan pendidikan semasa,” katanya.
🔗 Source: https://thereporter.my/cikgu-prasekolah-sambut-baik-kemasukan-tahun-satu-usia-enam-tahun/

Leave a Reply